Malaysia Memerlukan Lebih Ramai Guru Seumpama Puan Suzuna Binti Baharuldin!

Farah Waheda Wahid
0


Kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah disleksia akan sukar mengenal huruf apatah lagi untuk membaca. Kekeliruan kiri dan kanan juga menyukarkan mereka melalui hidup secara normal. Seandainya dibiarkan berterusan, mereka akan mempunyai perasaan rendah diri dan seterusnya boleh membawa kepada masalah kemurungan serta berkemungkinan menjadi lebih buruk di mana mereka mampu menjadi ganas kerana mahu melepaskan apa yang terbuku di hati.


Di sinilah di mana peranan ibu bapa dan guru sangat dititikberatkan demi masa depan golongan disleksia. Sistem pembelajaran di sekolah aliran perdana menyukarkan guru untuk memberi tumpuan kepada murid disleksia yang sukar membaca. Ini adalah disebabkan oleh murid-murid yang berkenaan memerlukan masa yang lebih panjang untuk belajar berbanding murid normal.


Pelajar disleksia sering dilabel sebagai murid bermasalah atau nakal oleh guru yang tidak faham masalah mereka sedangkan mereka sebenarnya boleh dibentuk dengan cara tersendiri. Tahap kecerdikan pelajar disleksia adalah sama dengan populasi murid yang normal. Ini bermaksud, jika di dalam populasi pelajar normal, terdapat 10 sehingga 15 peratus yang genius, maka di dalam populasi pelajar disleksia juga begitu. Terdapat pelajar genius, sederhana dan ada juga yang kurang cerdik. Di sinilah di mana Kak Fa katakan bahawa Malaysia memerlukan lebih ramai guru seumpama Puan Suzuna Binti Baharuldin! Kak Fa tetarik dengan kisah perjalanan Puan Suzuna Binti Baharuldin setelah membaca mengenai pencalonan beliau di dalam Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021.




Puan Suzuna Binti Baharuldin telah dicalonkan oleh pelajarnya sendiri iaitu Muhammad Danial bin Adam dan mari kita ikuti apa yang diperkatakan oleh Muhammad Danial bin Adam mengenai Puan Suzuna Binti Baharuldin:




Saya kadang-kadang mendapati huruf, perkataan dan nombor membingungkan saya di mana ianya adalah mencabar bagi saya untuk membaca, menulis. Saya juga sukar untuk meluahkan perasaan saya kerana saya Disleksia. Walaubagaimanapun, saya ingin seluruh dunia mengetahui bahawa guru saya adalah guru yang sangat bermakna kepada saya serta rakan-rakan saya yang lain.


Kini saya berada di Tahun 4 di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2 (SKTTDI 2). Pada peringkat awalnya, saya tidak suka ke sekolah. Saya selalu berharap agar saya dapat membaca dan bertutur dengan jelas seperti orang lain. Saya didiagnosia mengalami masalah pembelajaran ketika di Tahun 1, khususnya Disleksia, di mana kemudiannya saya telah dipindahkan ke sekolah awam, SK TTDI 2 di mana sekolah ini menawarkan program untuk murid-murid berkeperluan khas, termasuk Disleksia. 


Sewaktu pertama kali saya bersekolah di SK TTDI 2, saya tidak mempunyai kawan dan saya berasa keseorangan. Seorang guru yang dikenali sebagai Teacher Su telah mendekati saya. Dia menyambut kedatangan saya dengan tangan terbuka dan membuatkan saya rasa selesa seperti di rumah. Saya ingin mencalonkan Cikgu Suzuna Binti Baharuldin dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SKTTDI 2 sebagai Guru Inspirasi 2021.


Kebaikan Teacher Su tidak terhenti di situ, semasa saya berada di sekolah, saya tidak lagi berasa berbeza dan malu. Teacher Su memberikan dorongan kepada saya untuk membaca dan bertutur. Beliau juga memperkenalkan saya dengan nombor. Kini saya tahu bagaimana cara mengira dan sangat luar biasa saya tahu pendaraban. Kaedah pengajaran Teacher Su mudah difahami. Beliau memastikan saya memahami asas dan konsep. Semasa menyelesaikan soalan matematik, tidak pernah sekalipun Teacher Su meninggikan suaranya. Beliau sabar di dalam membimbing saya untuk mendapatkan jawapan yang tepat.


Belajar kini adalah menyeronokkan dan Matematik menjadi salah satu subjek kegemaran saya. Yang paling penting, Teacher Su mempercayai saya, walaupun saya berasa ragu dengan diri sendiri. Beliau memberitahu saya bahawa saya boleh membaca, menghitung dan cemerlang di dalam setiap tugasan yang diberikan. Beliau menemani saya dan rakan-rakan Disleksia ke setiap acara sekolah. Beliau juga memberikan motivasi kepada kami dengan mengatakan bahawa kami mampu untuk mengatasi orang lain dan kami mampu menjadi hebat. Saya telah banyak menerima sijil dan hadiah di dalam acara dan aktiviti sekolah atas dorongan Teacher Su. Beliau ibarat guru kepada saya. Menasihati, memotivasi, mengasuh dan memberi inspirasi. 


Teacher Su juga sanggup memberikan wangnya sendiri untuk pembelian alat tulis di kedai buku. Teacher Su sangat menyayangi semua pelajarnya secara sama rata. Teacher Su meraikan ulang tahun para pelajar dengan caranya yang tersendiri. Teacher Su memastikan suasana pembelajaran kami adalah kondusif. Beliau menggumpulkan dana dan menghiasi bilik darjah dengan cantic dan menyediakan bahan permainan dan bacaan yang menarik. Setiap hari pasti kami akan ternanti-nanti mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik di kelas Disleksia kami. Teacher Su adalah seorang guru yang hebat. Beliau bukan hanya seorang guru tetapi dia juga ‘Humanitarian’



 

Begitulah serba-sedikit yang dapat Kak Fa ringkaskan mengenai testimoni Muhammad Danial bin Adam terhadap Puan Suzuna Binti Baharuldin. Tapi Kak Fa tak puas membaca setakat di situ. Ianya membuatkan Kak Fa terpanggil untuk mendekati Puan Suzuna Binti Baharuldin. Guess what? Kak Fa berjaya menghubungi Puan Suzuna dan menemu-ramah Puan Suzuna secara ringkas.


Melalui temubual ringkas di antara Kak Fa dan juga Puan Suzuna, Puan Suzuna menyatakan beliau melihat kerjaya perguruan ini sebagai satu kerjaya yang penuh dengan tanggungjawab. Bukan sahaja kepada anak-anak murid tetapi juga untuk anak-anak beliau sendiri. Puan Suzuna sememangnya sangat meminati bidang kerjaya perguruan ini. 


Puan Suzuna memulakan perkhidmatan sebagai seorang guru semenjak dari tahun 2010 (11 tahun sehingga kini) dan beliau dipertanggungjawabkan untuk mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Matematik untuk anak-anak disleksia. 


Sedikit mengenai latar belakang Puan Suzuna… Beliau adalah merupakan graduan Universiti Malaya di dalam Sarjana Muda Sains (Teknologi Bioperubatan). Selepas graduat, Puan Suzuna telah bekerja sebagai guru sandaran di SK Taman Tun Dr Ismail 2 dan menerima tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (mod Kursus Dalam Cuti) untuk Pendidikan Khas. 


Puan Suzuna telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai seramai 5 orang cahaya mata. 3 cahaya mata lelaki dan 2 cahaya mata perempuan yang berusia di antara 6 sehingga 16 tahun. Kini Puan Suzuna menetap di Kg Sg Penchala. Puan Suzuna pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2018.


Berbicara mengenai cabaran yang dihadapi oleh Puan Suzuna sebagai guru kepada anak-anak murid disleksia, beliau mengatakan bahawa:

 


Anak-anak Disleksia ini dari segi luarannya sama sahaja seperti anak-anak arus perdana yang lain. Tetapi istimewanya anak-anak ini, memang akan lebih dirasai sekiranya kita sendiri yang mendidik dan rapat dengan mereka.


Terdapat pelbagai ragam, pelbagai masalah luaran atau dalaman, tetapi semuanya dapat diatasi kalau terdapat kerjasama yang baik di antara ibu bapa, guru dan anak-anak disleksia itu sendiri. Akademik penting, tetapi keyakinan diri mereka yang perlu dipupuk terlebih dahulu. Nanti semuanya akan datang seiring.



 

Puan Suzuna juga menyatakan bahawa mendidik pelajar di dalam kelas, sekiranya terdapat 5 pelajar, bermaksud terdapat 5 ragam yang berbeza, 5 masalah yang berbeza walaupun hanya satu masalah utama iaitu disleksia. Cabarannya adalah mendidik pelajar disleksia bagaimana untuk meningkatkan keyakinan diri, berani untuk menyertai pelbagai pertandingan, melatih mereka dengan pelbagai cara, mencungkil bakat setiap seorang.




Sekiranya seseorang guru memahami bakat atau kemahiran yang pelajar ada, makanya tugas guru untuk menarik minat mereka akan menjadi lebih mudah.  Sepanjang bergelar guru, pengalaman Puan Suzuna sememangnya menyeronokkan. Ada kalanya, para pelajar akan dimarah, ada kala pula bergembira. Cuma pendekatan adalah berbeza kerana pelajar disleksia selalunya anak yang sensitive, anak yang bergolak dengan emosi. Sebagai guru Puan Suzana senantiasa bertanggapan bahawa beliau perlu menyelami hati dan jiwa mereka. 




Puan Suzuna berharap untuk melihat anak-anak didik beliau berjaya. Lebih-lebih lagi untuk anak-anak syurga ini. Sekiranya di sekolah rendah, mereka mampu untuk menguruskan diri dengan baik, dapat membina keyakinan diri dengan baik, boleh mengikuti akademik dengan baik, dapat membina kasih sayang di antara rakan dan guru dengan baik, Puan Suzuna percaya hidup mereka akan lebih terurus, lebih cemerlang, lebih berjaya apabila mereka melangkah ke sekolah menengah nanti seterusnya apabila mereka telah dewasa nanti. 


Kagum! Kak Fa kagum dengan passion dan kesabaran serta ketabahan Puan Suzuna sebagai seorang guru Pendidikan Khas. Bersempena dengan Hari Guru ini, Kak Fa harapkan kisah Puan Suzuna dapat dijadikan contoh dan semoga kita semua lebih menghargai jasa serta pengorbanan seorang insan yang bergelar guru. Selamat Hari Guru Puan Suzuna! Selamat Hari Guru buat semua guru-guru di Malaysia!

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !