Home » , , , , , , , , » LeapEd Melancarkan e-buku Coronavirus dalam Bahasa Melayu untuk Mendidik Kanak-kanak

LeapEd Melancarkan e-buku Coronavirus dalam Bahasa Melayu untuk Mendidik Kanak-kanak

Kalau anda pernah ingatlah atau pernah nampak, Kak Fa pernah memuatnaik satu artikel berkenaan dengan LeapEd yang bertajuk Transformasi Pendidikan Malaysia Melalui Program SEKOLAH AMANAH LeapEd Terbukti Berkesan!. Kini LeapEd melancarkan e-buku Coronavirus dalam Bahasa Melayu untuk Mendidik Kanak-Kanak. Bagus kan?

Coronavirus: Buku untuk Kanak-Kanak merupakan versi Bahasa Melayu pertama yang diterjemahkan dan disesuaikan dengan konteks tempatan oleh LeapEd Services Sdn Bhd, dengan kerjasama pemenang anugerah dan penerbit global, Nosy Crow serta Ilustrator yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Axel Scheffler.


LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd), penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan pertama di Malaysia dan sebuah syarikat perusahaan sosial, telah melancarkan e-buku ‘Coronavirus: Buku untuk Kanak-Kanak’ Edisi Bahasa Melayu baru-baru ini. E-buku ini mengandungi 17 halaman dengan naratif yang mudah difahami serta dilengkapi dengan ilustrasi untuk pembacaan yang menarik. Menyedari kepentingan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak Malaysia tentang wabak COVID-19 ketika ini, LeapEd diberi penghormatan eksklusif untuk menterjemahkan e-buku ini, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengubah cara kanak-kanak belajar dan juga cara pendidik mengajar.


Coronavirus: Buku untuk Kanak-Kanak’ boleh dimuat turun di: www.leapedservices.com/coronavirus-book


E-buku ini pada mulanya diterbitkan di United Kingdom (UK) oleh Nosy Crow, penerbit buku kanak-kanak bebas yang memenangi anugerah dan diilustrasikan oleh Axel Scheffler, ilustrator yang terkenal di peringkat antarabangsa melalui ilustrasi ‘The Gruffalo’. Sejak dilancarkan di UK pada April tahun ini, e-buku tersebut telah dimuat turun lebih daripada sejuta kali, dan boleh didapati dalam lebih daripada 60 bahasa.


Pengerusi LeapEd, Shahnaz Al-Sadat berkata:


Walaupun negara sedang dalam proses pemulihan, perjuangan menentang COVID-19 masih belum selesai. Sambil kita menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, amat penting untuk anak-anak kita dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahaman yang relevan tentang virus dan bagaimana mereka dapat memainkan peranan untuk melindungi diri mereka dan orang sekeliling. Peluang untuk menterjemahkan buku ini ke Bahasa Melayu serta memastikan maklumat yang diberikan disesuaikan dalam konteks tempatan merupakan langkah penting untuk menghubungkan ibu bapa dan kanak-kanak di Malaysia dan mendorong perbincangan terbuka tentang virus tersebut dan realiti kehidupan baharu.

Usaha untuk menyampaikan maklumat tentang pandemik COVID-19 tidak terhenti di situ sahaja. Panduan Membaca oleh LeapEd menyediakan langkah demi langkah bagi membantu ibu bapa menggunakan buku ini dengan lebih berkesan. Panduan Membaca tersebut merangkumi cadangan cara membaca e-buku ini, bagaimana memulakan perbualan dengan anak-anak, soalan mengenai virus dan pandemik tersebut serta mendorong anak-anak untuk merenungkan keadaan semasa dan langkah-langkah seterusnya yang boleh mereka praktikkan dengan segera. Terdapat juga versi “Read Aloud” yang disampaikan oleh Azalia Suhaimi, penyair Malaysia yang terkenal dengan kaedah menggabungkan fotografi dan puisi. 

Penceritaan boleh menjadi kaedah terbaik untuk berkongsi buku dengan anak-anak. Azalia Suhaimi, penyair dan penglipur lara Malaysia telah menghasilkan dua video (versi Bahasa Inggeris dan versi Bahasa Melayu) untuk digunakan oleh ibu bapa bersama-sama dengan buku ini.


Ilustrasi e-buku ini direka khas secara berwarna-warni dan ceria untuk menarik minat kanak-kanak terhadap topik tersebut. Ilustrator dan pemenang anugerah, Axel Scheffler berkata, “Penting untuk menyampaikan maklumat kepada kanak-kanak dan ibu bapa tentang virus ini - dan buku ini adalah cara yang baik untuk melakukannya. Walaupun mungkin mustahil untuk menghasilkan lukisan yang mencerminkan kehidupan kanak-kanak di seluruh dunia, saya sangat berbesar hati kerana kanak-kanak di Malaysia kini boleh membaca buku ini dan belajar tentang virus ini, terutama sekali kerana saya amat seronok dengan lawatan saya ke Malaysia dengan Institut Goethe kira-kira 10 tahun.”


“Kami sangat bangga kerana dapat menghasilkan ‘Coronavirus: Buku untuk Kanak-kanak’. Buku ini menjadi kenyataan kerana kami mendapat input daripada ilustrator dan pemenang anugerah, Axel Scheffler, yang dengan senang hati menyumbangkan ilustrasinya; serta nasihat guru-guru, seorang ahli psikologi kanak-kanak dan kepakaran saintifik Graham Medley, seorang Profesor Pemodelan Penyakit Berjangkit di School of Tropical Medicine London. Di masa yang sukar untuk mencari kaedah menggabungkan maklumat saintifik dengan kejujuran emosi dan jaminan kepada anak-anak, kami sangat gembira dapat memberikan sumber rujukan yang berguna”, kata Kate Wilson, Pengarah Urusan Nosy Crow.


Penerbit buku tempatan, Me Books Asia dan Silverfish Books turut berganding bahu dengan LeapEd, dalam menyediakan akses untuk memuat turun buku tersebut di platform digital mereka. Pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif Me Books Asia, Hao Jin berkata:

"Kami sangat teruja untuk memulakan perjalanan ini dengan LeapEd dan bekerjasama dengan mereka dalam usaha untuk mendidik kanak-kanak Malaysia mengenai COVID-19. Kami berharap inisiatif ini akan terus mendorong usaha negara ke arah pemulihan sepenuhnya dari pandemik tersebut.”


Sebagai sokongan inisiatif ini, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata:


Tahniah LeapEd kerana berjaya menghasilkan pendekatan langkah demi langkah yang mudah dan mesra untuk ibu bapa membimbing anak-anak mengenai Coronavirus. Buku ini merupakan bahan pembacaan ringkas yang menyeronokkan dengan gambar-gambar yang cantik untuk menjadikan pembelajaran menarik dan menjadi sumber rujukan kepada ibu bapa dan kanak-kanak.”


Pelaksanaan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia yang bermula 18 Mac telah menyebabkan sekolah, pusat pengayaan dan pembelajaran ditutup. LeapEd bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan Program Sekolah Amanah, sebuah program transformasi sekolah secara menyeluruh dengan impak kepada lebih 90 Sekolah Amanah di seluruh negara. Sebagai respons kepada pandemik ini, LeapEd telah memperkenalkan pelbagai sumber rujukan inovatif untuk membimbing dan membantu pendidik, ibu bapa dan murid pada waktu getir ini.


Sokongan LeapEd turut merangkumi bengkel, webinar serta bahan pembelajaran di platform digital dan sosial seperti Zoom dan Telegram untuk membimbing guru-guru menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian serta membantu ibu bapa dan murid-murid menyesuaikan diri dengan pembelajaran di rumah.


Mengenai LeapEd Services Sdn Bhd

LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd) merupakan penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang pertama di Malaysia dan perusahaan sosial yang dipercayai. Matlamat LeapEd adalah untuk membangunkan para pelajar secara holistik dengan kompetensi abad ke-21 serta sekolah yang dilengkapi dengan amalan pendidikan yang mampan. LeapEd percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat masa depan yang cerah. Oleh itu, LeapEd bekerjasama rapat dengan rakan strategik dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui kerjasama awam-swasta yang memberi tumpuan terhadap transformasi sekolah secara menyeluruh dan pembelajaran berpusatkan murid untuk merealisasikan potensi setiap pelajar.


Sejak ditubuhkan pada tahun 2010, LeapEd telah mereka bentuk dan melaksanakan pelbagai model seperti District Transformation Programme-AMAN (DTP-AMAN), Islamic School Enhancement Programme (ISEP), Ground-up School Transformation Programme (GUSTO), Program Sekolah Transformasi (PreSTasi) serta Program Sekolah Amanah (PSA) yang pertama di negara ini. Model intervensi ini telah memberi impak kepada lebih 71,000 orang murid, 6,000 orang guru dan 160 buah sekolah meliputi 13 buah negeri di Malaysia.


Untuk Maklumat Lanjut:

Laman Facebook: www.facebook.com/LeapEdServices

Laman Linkedin: www.linkedin.com/company/leaped-services/

Terimakasih telah membaca artikel LeapEd Melancarkan e-buku Coronavirus dalam Bahasa Melayu untuk Mendidik Kanak-kanak. Jangan lupa share ya

Subscribe to receive free email updates:

1 komentar:

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.