Realiti Sebenar Penjagaan Seorang Bayi Di Malaysia

Farah Waheda Wahid
1
Kredit: Gambar diubahsuai dari sumber artikel asal.

Tak mudah sebenarnya menjaga, membesarkan serta mendidik anak. Setiap ibu bapa pasti mengakui, pengalaman membesarkan seorang anak atau bayi sememangnya adalah satu cabaran yang bukan mudah. Apatah lagi pada zaman di mana peningkatan kos sara hidup tidak begitu selari dengan pendapatan yang diperoleh. Kos bagi membesarkan seorang bayi sahaja sudah mencapai ribuan ringgit dalam tempoh sebulan. Bagi mengetahui berapakah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk seorang bayi, Hello Doktor telah cuba mencari anggaran kos minimum yang perlu ibu bapa sediakan untuk sekurang-kurangnya seorang bayi mereka. Boleh dikatakan inilah realiti sebenar penjagaan seorang bayi di Malaysia. Anda boleh merujuk kepada infografik ringkas yang telah disediakan oleh Hello Doktor seperti di bawah ini:


Untuk memudahkan pengiraan anggaran, Hello Doktor telah membahagikan perbelanjaan yang diperlukan kepada dua bahagian iaitu kos yang berulang dan kos tidak berulang. Kos berulang bermakna kos yang perlu anda keluarkan atau belanjakan secara berkala; dalam konteks ini adalah setiap bulan. Manakalah bagi kos yang tidak berulang adalah kos yang anda perlu belanjakan pada satu tempoh tertentu sahaja kerana penggunaannya adalah bersifat jangka panjang dan tahan lama. Bagi pengiraan ini, tempoh bagi kos tidak berulang yang dianggarkan adalah selama satu tahun.

Perbelanjaan Bagi Kos Berulang (Bulanan)

Lampin Pakai Buang

Bagi lampin pakai buang, anda mungkin boleh mendapatkan harga yang lebih murah bergantung kepada jenama lampin yang anda pilih dan juga kuantiti bagi setiap bungkusan lampin. Anda perlu kerap menukarkan lampin bayi anda untuk mengelakkan masalah ruam yang mungkin berlaku. Ruam lampin akan berlaku jika bayi menggunakan lampin yang kotor dalam tempoh yang terlalu lama. Oleh sebab itu, apabila anda menyusukan atau memberi makan kepada bayi anda, tukarlah kepada lampin baru jika mereka telah membuang air selepas daripada penyusuan atau pemakanan mereka. Untuk mengelakkan luka akibat geseran antara kulit bayi dan lampin pakai buang, gunakan krim lampin atau salap bagi setiap pertukaran lampin. Ini membantu bayi anda untuk berasa lebih selesa dan mengelakkan luka pada kulit.

Kelengkapan Mandian

Bagaimana cara anda memilih kelengkapan mandian untuk bayi anda? Jika anda masih keliru atau tiada jawapan bagi persoalan ini, kami akan bantu anda. Bagi kelengkapan mandian, lihat pada label produk dan pilihlah produk dengan bahan yang tidak mengandungi paraben, formaldehyde atau pewangi. Ini kerana, kewujudan bahan-bahan ini akan membuatkan kulit bayi mengalami kerengsaan atau iritasi. Untuk cecair mandian badan, pilihlah cecair yang tidak mengandungi sabun. Untuk syampu pula, gunakan produk yang tidak memedihkan mata bayi anda.

Penggunaan Tisu Basah

Untuk tisu basah, anda tidak disarankan untuk menggunakannya dengan kerap dan hanya gunakannya apabila membersihkan punggung bayi anda yang mengandungi najis sahaja. Cuba dapatkan jenis tisu basah yang tidak mengandungi kandungan alkohol atau jika boleh, hanya gunakan kain biasa sahaja bersama-sama air. Ini kerana tisu basah yang mengandungi alkohol dan juga pewangi boleh merengsakan kulit bayi.

Perbelanjaan Bagi Kos Yang Tidak Berulang (Tahunan)

Mungkin anda boleh berjimat sedikit untuk pembelian barangan dalam kategori ini kerana ia tidak dibeli selalu. Untuk set baju dan seluar, anda mungkin akan membeli sebanyak 14 helai pakaian kerana Hello Doktor menganggarkan penggunaan minimum dua set pakaian setiap hari selama seminggu. Begitu juga dengan pembelian stokin dan sarung tangan bayi.

Pemilihan Jenis Fabrik

Fabrik kapas adalah jenis pilihan fabrik atau material yang paling sesuai untuk bayi atau kanak-kanak. Ini kerana kain berasaskan kapas ini memiliki sifat yang lembut serta tinggi kadar penyerapannya. Kain kapas organik adalah pilihan yang paling sesuai untuk bayi memandangkan penanamannya tidak melibatkan penggunaan bahan kimia berbahaya dan baja. Sesetengah bayi atau kanak-kanak kadangkala memiliki reaksi alahan atau keadaan kulit tertentu yang akan bertambah buruk jika menggunakan fabrik sintetik atau yang bersifat kasar. Oleh itu, penggunaan fabrik kapas organik adalah cara yang paling selamat agar bayi anda kekal selesa dan tidak berisiko mengalami keadaan kulit yang semakin memburuk.

Penggunaan Pam Susu

Mengapa pam susu merupakan salah satu barangan yang perlu ada di rumah anda? (Bagi yang menyusu susu ibu). Pam susu bertujuan untuk memastikan bekalan susu ibu yang berterusan dapat dinikmati oleh bayi anda. Lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu berkerjaya yang boleh menyediakan bekalan susu ibu untuk bayi masing-masing walaupun ditinggalkan di rumah pengasuh. Selain itu, ia memudahkan ibu atau pengasuh yang terlibat untuk melakukan tugas-tugas lain tanpa perlu risau dengan keinginan bayi yang kelaparan tanpa mengira masa. Kos pembelian satu pam susu ini agak mahal, walaubagaimanapun ia amat berbaloi kerana ia boleh digunakan untuk satu jangka masa yang lama.

Pemilihan Botol Susu Bayi

Jangan sesekali memilih botol susu dengan hanya melihat kepada grafik animasi atau rekaan botol yang comel semata-mata. Perkara yang paling penting semasa memilih botol susu adalah memastikan bahawa ia adalah bebas BPA. Apa pula yang dimaksudkan dengan BPA ini? Ia adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam kebanyakan penghasilan produk-produk komersial seperti botol plastik dan bekas makanan, dan tidak terkecuali juga botol susu bayi. Kandungan BPA dalam botol susu berpotensi bercampur dengan kandungan susu, dan seterusnya boleh memasuki tubuh bayi. Kesannya, ia boleh menjejaskan otak, kelenjar prostat janin, bayi dan juga kanak-kanak. Selain itu, BPA juga boleh memberi kesan terhadap tingkah laku kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia masih dikategorikan selamat jika berada dalam sesetengah makanan dengan tahap yang paling rendah.

Pembelian Baby Car Seat

Bermula Januari 2020, Kerajaan Malaysia telah mewajibkan penggunaan baby car seat dalam kereta persendirian untuk memastikan keselamatan bayi dan juga kanak-kanak jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini di atas jalan raya. Tetapi bagi keluarga yang mempunyai bayi atau anak yang ramai, anda akan diberikan sedikit kelonggaran dalam penguatkuasaan ini. Oleh itu, anda tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli kerusi bayi dengan ciri keselamatan terbaik untuk si manja anda. Ia bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan.

Cadangan Untuk Ibu Bapa

Bagi mengurangkan sedikit kos pembelian produk atau barangan seperti yang dinyatakan di atas, anda boleh mencuba beberapa tip yang Hello Doktor sediakan ini:
  • Bandingkan harga barangan di kedai dan juga online store. Biasanya barangan yang dijual di online store adalah lebih murah
  • Bandingkan harga antara pasar raya. Anda boleh pergi ke pasar raya besar yang terkenal dengan harga yang lebih rendah seperti Mydin, Tesco dan Giant
  • Bagi pembelian barangan yang berharga mahal seperti kerusi bayi, cuba dapatkan kerusi bayi second hand kerana harga yang ditawarkan akan lebih murah. Pastikan ia berada dalam keadaan yang elok dan bersih sebelum membelinya
  • Beli barangan secara pukal pada waktu promosi seperti promosi perayaan, promosi hujung minggu dan promosi hujung tahun. Ia nyata lebih jimat.

Melalui cadangan berikut, ia pasti sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos yang perlu dibelanjakan. Mungkin terdapat cadangan-cadangan lain yang boleh anda kongsikan dengan pembaca-pembaca lain agar kita sama-sama dapat berjimat dan dalam masa yang sama, dapat membesarkan bayi dalam keadaan yang selesa dan sejahtera. Anda boleh kongsikan cadangan anda kepada Kak Fa melalui email: bubblynotes@gmail.com dan juga melalui akaun Facebook rasmi  Hello Doktor.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Artikel ini diterbitkan di atas “content partnership” di antara hellodoktor.com dan bubblynotes.com.

Post a Comment

1Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

  1. sebelum bayi lahir, memang kena prepare duit untuk perbelanjaan dulu :D

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !