Cerminan SAD PARENTING Di Dalam Filem JOKER

Farah Waheda Wahid
2
Kredit: Gambar dipetik dan diubahsuai dari sumber dari Google


Interesting read dan ini adalah cerminan SAD PARENTING di dalam filem JOKER yang telah ditayangkan pada tahun 2019 ini di Malaysia. Not sure…how many of you out there yang berkesempatan untuk menonton filem ini di pawagam but… bagi Kak Fa filem ini adalah filem yang menarik yang mempunyai mesej tersirat yang semua ibu bapa patut jadikan sebagai contoh dan tauladan. Boleh sangat nak ambil iktibar dari filem ni. Realitinya…situasi membesarkan anak dengan sad parenting itu sememangnya wujud. Watak JOKER adalah jelmaan sad parenting di mana sejak kecil anak telah melihat serta melalui krisis kehidupan yang bermacam dan akhirnya itulah yang membentuk keperibadiannya.

Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar yang merupakan seorang Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK):

Krisis Dalam Hidup Seorang JOKER

Watak JOKER bukanlah terhasil dari BAD PARENTING sebaliknya JOKER adalah jelmaan SAD PARENTING dan pelbagai krisis yang dialami di dalam hidupnya semenjak dari kecil. Ibu Arthur hidup dalam kesedihan dan kemurungan selama 30 tahun membesarkannya dan selama itu jugalah Arthur juga hidup dalam kesedihan dan kemurungan yang perlu dinafikan dan dipakaikan topeng.

Krisis Ketiadaan Bapa

Di dalam dunia realiti, Amerika Syarikat sedang mengalami krisis ketiadaan bapa (father absense crisis) yang buruk dalam sejarah negara mereka. Menurut U.S Census Bureau 2017, 19.7 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat, iaitu lebih dari 1 daripada 4 kanak-kanak, tinggal di dalam rumah tanpa figura seorang ayah, baik ayah kandung, ayah tiri mahupun ayah angkat. Bukan itu sahaja, dalam hampir kesemua masalah sosial yang berlaku di Amerika Syarikat, faktor ayah menjadi penyebab utamanya.

Watak Arthur yang akhirnya menjadi penjenayah tegar dikenali sebagai JOKER mewakili mereka yang membesar tanpa kehadiran seorang ayah. Walau apa jua masalah kesihatan mental yang dihadapi Arthur, dia mendambakan kehadiran figura ayah yang memeluknya, yang prihatin tentang dirinya, seperti yang diluahkan kepada Thomas Wayne: yang menghargai dan yang sanggup berkorban apa sahaja kerananya seperti yang diucapkan Murray Franklin dalam delusi Arthur.

“You know this stuff, the lights, the show, the audience, all that stuff, I’d give it all up in a heartbeat to have a kid like you.”

Seumur hidupnya semua ini tidak pernah dirasainya sehingga membawa kepada kesakitan yang tidak mampu diluahkan. Krisis sebegini bukan hanya masalah di Amerika Syarikat ataupun di dalam dunia fiksyen komik DC semata-mata. Ketika Wacana Khas Gejala Sosial: Isu Anak Sah Taraf yang diadakan di tanah air kita pada tahun 2011, pengukuhan kepimpinan bapa atau golongan lelaki dalam keluarga menjadi fokus utama wacana kerana faktor kelemahan kepimpinan seorang ayah adalah penyumbang utama gejala anak luar nikah di negara kita.

Krisis Penafian Emosi

Apabila ibu Arthur menceritakan kepada Pakar Psikiatri tentang Arthur yang sentiasa gembira semasa kecil dan dia tidak pernah melihat anaknya menangis, itu bukanlah sifat seorang anak yang seharusnya melegakan seorang ibu. Anak yang tidak menangis belum tentu menggambarkan anak yang sihat perkembangan mental dan emosinya. Setiap kanak-kanak akan menangis dan perlu menangis. Menangis bukanlah sesuatu yang negatif baik bagi anak perempuan ataupun anak lelaki.

Menangis bukanlah lambang kelemahan tetapi menangis adalah luahan emosi yang perlu diizinkan dan dibimbing kerana anak sedang membina kekuatan dalaman. Menggelarkan Arthur dengan panggilan HAPPY adalah satu cubaan oleh ibunya untuk memaksa Arthur supaya menyembunyikan perasaan dan memendam kedukaannya. Memendam perasaan tidak akan menyahkan perasaan itu sebaliknya memendam perasaan hanya akan merobek-robek jiwa dan kewarasan secara perlahan-lahan dari dalam diri.

Penafian emosi akan melahirkan masyarakat yang tiada empati, yang tidak dapat memahami perasaan orang lain, yang tidak peduli dengan kesengsaraan dan kedukaan orang lain yang akhirnya akan meruntuhkan masyarakat sebagaimana yang berlaku di Gotham City.

Krisis Kepercayaan

Arthur mengalami krisis kepercayaan yang sangat kritikal dalam hidupnya. Arthur diabaikan dan didera fizikal, mental dan emosi oleh individu yang rapat dengannya sewaktu kecil. Usia awal adalah fasa di mana seorang kanak-kanak membina kepercayaan kepada orang sekelilingnya dan membina kepercayaan kepada kemampuan dirinya sendiri. Penderaan semasa kecil akan meninggalkan kesan yang berpanjangan sekiranya anak yang didera tidak mendapat bantuan dan intervensi yang sewajarnya.

Seumur hidupnya dia tercari-cari individu yang boleh dipercayainya. Hilangnya kepercayaan ini jugalah yang menyebabkan dia membunuh ibunya sendiri iaitu satu-satunya insan yang dipercayainya selama ini dan telah mengkhianatinya.

Kemarahan Arthur memuncak menjadi satu kegilaan apabial Murray Franklin, individu yang dibayangkan sebagai figura seorang ayah dan dikaguminya selama ini juga telah mengkhianati kepercayaannya. Arthur dimalukan oleh Murray di kaca televisyen untuk tontonan semua.

Plot PUBLIC SHAMING sebegini mengingatkan kepada kejadian di tanah air kita sendiri di mana seorang ayah tergamak memalukan anak kandungnya sendiri di media sosial setelah anak itu dipukulnya. Begitu juga seorang ibu yang sanggup memalukan anak kandungnya  sendiri di media sosial setelah “mengajarnya” dengan melukis mata panda.  Tiada bezanya public shaming di dunia realiti di tanahair kita ini dengan public shaming dalam filem JOKER ini.

Krisis Perhatian

“In my whole life, I didn’t know if I even really existed. But I do. And people are starting to notice.”…Luah Arthur.

Apabila kewujudan seseorang diberikan perhatian hanya setelah dia melakukan kesalahan (atau jenayah) maka individu tersebut akan terus melakukan jenayah kerana hanya dengan cara itu dia menjadi perhatian dalam masyarakat. Anak-anak kita juga begitu. Sekiranya dengan melakukan kesalahan, kesilapan, tidak mendengar kata, sepah, melawan, degil anak mendapat perhatian kita sedangkan apabila dia berbuat kebaikan kita langsung tidak menghargai dan mengendahkan dia, maka dia akan terus melakukan perkara yang negatif itu kerana hanya dengan begitu mendapat perhatian.

NEGATIVE ATTENTION IS ATTENTION!


*Great movie with great message!

Sumber: SINI

Post a Comment

2Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !