Pesanan Buat Mak Ayah Yang Pertama Kali Hantar Anak Ke Tadika

Farah Waheda Wahid
0
pesanan buat mak ayah yang baru pertama kali hantar anak ke tadika

Masa mula-mula Kak Fa hantar Firash ke tadika dulu, perasaan Kak Fa ni bercampur-baur sebab Firash tidak pernah sekalipun dihantar ke rumah pengasuh, taska mahupun nurseri. Smile. Salah satu daripada perasaan bercampur-baur tu adalah RISAU. Jadi Kak Fa faham kalau ada di antara mak ayah di luar sana sama seperti Kak Fa bila buat pertama kalinya menghantar anak ke tadika. Kak Fa dah lalui fasa itu, jadi Kak Fa mempunyai sedikit pesanan buat mak ayah yang pertama kali hantar anak ke tadika.

Kalau rasa baik untuk anda, mungkin anda boleh kutip pengalaman Kak Fa ini. Kalau tidak, anggaplah sebagai angin lalu sahaja. Winking smile. Semudah itu… tak susah pun…

Belajar Melepaskan

Selama Firash lahir sehinggalah berusia 2 tahun, sekalipun tidak pernah Kak Fa lepaskan Firash di bawah jagaan orang lain selain Grandma dia. Sekalipun tidak ya? Smile. Jadi bayangkanlah bagaimana susahnya Kak Fa bila memikirkan yang bermula dari saat itu, Kak Fa terpaksa meletakkan Firash di bawah jagaan cikgu di tadika? Risau tu yang paling menggunung. Bukan senang untuk duduk diam bila memikirkan hal seumpama ini.

Jujur cerita, semua serba tak kena dan buat kerja di pejabat pun tak tenang. Ambil masa untuk pujuk hati dan bina perasaan yakin pada cikgu di tadika. Kak Fa pujuk hati yang Firash di bawah pemantauan dan jagaan mereka yang berkelayakan dan berpengalaman (sebab tu sebelum daftar anak di tadika, Kak Fa survey, turun padang dan siasat latar belakang tadika terlebih dahulu).

Memang susah tapi pusing kot kiri, kanan, belakang dan depan tetap kena belajar melepaskan dan tetap kena bina keyakinan. Perasaan yang kita rasa itu, tetap akan berada di situ tapi kita kena pujuk hati, kita kena lawan, kita kena yakin, kita kena kawal dan redha. Kena banyak-banyak kuatkan hati.

Keraskan Hati

Biasalah anak kecil yang baru pertama kali diletakkan di satu tempat yang baru takkan faham sepenuhnya apa fungsi tadika. Tipulah, kalau Kak Fa kata Firash tak pernah menangis dihantar ke tadika. Hari pertama dulu, memang dia tak menangis, tetapi ada beberapa kali selepas itu dia menangis. Sebab apa? Rasa insecure bila mak ayah menghantar dan meninggalkan mereka di satu tempat yang asing bagi mereka. Dahlah hantar, lepas tu tinggalkan mereka sorang-sorang pula tu. Bagi anak-anak kecil mereka ni di dalam fasa object permanence. Ada depan mata pada mereka adalah ada dan wujud. Tiada bermakna tiada dan tidak wujud.

Menangis itu satu perkara yang normal dan bukan abnormal. Tapi mak ayah janganlah “menangis” sama ya? Winking smile. Biasa berlaku ketika waktu menghantar dan meninggalkan. Nasihat Kak Fa, selepas disambut oleh cikgu, jalan terus. Jangan pusing-pusing atau toleh belakang lagi dah. Hati kena sangat kental ok?

Jarakkan Kekerapan Telefon Atau What’s App Tadika

Aduh duh duh duh…Kak Fa faham perasaan mak ayah tu bagaimana. Cuma tolonglah jarakkan kekerapan telefon atau What’s App tadika bertanyakan perihal anak-anak kita. Bukan kata tak boleh telefon atau What’s App langsung ya? Boleh. Jarakkan sahaja. Kak Fa pun telefon bertanyakan perihal Firash, tapi bukan kerap.

Apa yang Kak Fa lakukan adalah, sewaktu minggu pertama persekolah Firash sewaktu dia berusia 3 tahun dahulu, Kak Fa What’s App sahaja kepada pihak tadika di hari kedua dan kemudian hari ketiga. Kemudian, Kak Fa stop. Seterusnya, Kak Fa jarang telefon atau What’s App tadika melainkan sama ada pagi tu Firash mood tak berapa nak elok ataupun Firash tak berapa nak sihat. Selebihnya, Kak Fa memilih untuk tidak mengganggu pihak tadika hanya semata nak bertanyakan perihal Firash. Janganlah, mak ayah pergi langgar setiap hari telefon atau What’s App tadika bertanyakan perihal anak. Cikgu-cikgu banyak kerja oiii…. Bukan senang nak kendalikan anak-anak kecil. Bukan punya banyak masa setiap hari nak melayan panggilan telefon atau What’s App mak ayah. Kalau seorang dua mungkin terlayan, kalau dah ramai? Fikir-fikirkan ya? Beri ruang kepada mereka untuk menjalankan tugas mereka dan beri peluang kepada anak-anak kita.

Setiap tadika pasti ada group What’s App ibu bapa dan guru kelas atau tadika, tadika juga mungkin mempunyai sistem kendalian broadcast What’s App message kepada ibu bapa dan tadika juga mempunyai nombor hubungan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Smile. Tadika akan hubungi kita sekiranya berlaku sesuatu kepada anak-anak kita. Tadika memikul tanggungjawab untuk menjaga anak-anak kita, memantau anak-anak kita. Lagipun yuran tadika (merujuk kepada yurang tadika swasta) sekarang ni bukannya sikit-sikit murah kan? Faham kan? Kita mak ayah ni semua adalah pelanggan mereka, jadi sudah tentu mereka mencuba sehabis baik untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita.

Simpan Sedikit Rasa Tidak Percaya

Sambungan kepada pesanan Kak Fa di atas, ya… Kak Fa direct anda untuk percaya kepada kewibawaan guru-guru dan juga tadika di dalam mengendalikan anak-anak kita masing-masing. Bukan bermaksud Kak Fa suruh percaya seratus peratus membuta tuli. Banyak dah kes penderaan di taska mahupun tadika yang lepas-lepas yang terpampang di media masa. Simpan sedikit rasa tidak percaya. Sampai sekarang tau, Kak Fa masih simpan sedikit rasa tidak percaya. Perlu. Bagaimana?

Setiap hari bila balik dari pejabat, bila sampai rumah, perkara pertama adalah Kak Fa akan bertanyakan Firash apa yang dia belajar di sekolah pada hari tersebut? Kak Fa teliti jawapan yang keluar dari mulut Firash, bagaimana air muka serta reaksi dia. Gembira? Sedih? Macam ada yang tak kena? Belajar tak belajar. Kemudian Kak Fa pantau perkembangan semasa Firash sama ada dari segi akademik mahupun dari segi reaksi dirinya. Kalau ada rasa ragu, kalau ada rasa was-was dan kalau ada yang tak kena dengan mood Firash bila disoal tentang tadika. Kak Fa akan menghubungi pihak sekolah bertanyakan sekiranya ada sebarang masalah dengan Firash. Berbincang secara baik dan dapatkan penyelesaian secara baik.

Tubuh badan? Kak Fa periksa tubuh badan Firash setiap hari ya…. Jangan tak tau… Open-mouthed smile. Tengok ada tak bertanda di mana-mana. Ini perlu memandangkan banyak dah kes lepas-lepas yang diberitakan tentang penderaan di taska dan tadika. Nak pastikan ajer… Ada tak tanda-tanda yang tak sepatutnya. Bukan nak tuduh sekolah.

Jangan Jadikan Isu Perkara Yang Boleh Tutup Mata Dan Ada Rasional

Bukan mudah nak please-kan Kak Fa sebagai seorang ibu ya? Bukan mudah. Kak Fa ni tergolong di dalam kategori mak yang particular dan details. Tapi tak adalah sampai anak pakai seluar terbalik pun Kak Fa nak jadikan isu ataupun butang baju tercabut pun Kak Fa nak jadikan isu. Ini contoh. Perkara-perkara seumpama ini lah. Halalkan ajer perkara sebegini sebab kita kena ingat yang cikgu di tadika tu bukan memantau anak kita seorang sahaja ya mak ayah. Ramai lagi kanak-kanak lain. Kita yang jaga seorang pun kadang-kadang rasa tak terlayan dan nak pengsan, inikan pula cikgu-cikgu yang nak kena kawal, pantau dan jaga berbelas-belas atau berpuluh-puluh anak murid di dalam satu kelas yang masih kecil dan banyak main. Janganlah nak salahkan cikgu cepat sangat. Cikgu pun manusia biasa, terkadang boleh terlepas pandang. Note this ok?

Tolong Jangan Sentap Mudah Sangat

Mak ayah hantar anak ke tadika sebab nak anak bersosial, tengok dunia baru dan menimba ilmu. Dalam sehari di antara berhari-hari yang ada sepanjang sesi persekolahan pasti sesekali ada di antara anak-anak kita ditegur atau dimarahi oleh cikgu mereka. Sama ada disebabkan oleh perilaku ke atas diri sendiri seperti dimarahi kerana tidak mahu membuat kerja, dimarahi kerana tidak mahu patuh pada arahan dan menyentuh barangan peribadi rakan-rakan. Tak salah pun cikgu tu tegur atau marah, itu tandanya cikgu tu sedang mendidik anak-anak kita untuk menjadi individu yang lebih baik. Nak anak berkembang dengan positif ke tidak ni? Smile with tongue out. Cepat sangat sentap.

Janganlah sentap mudah sangat dan janganlah selepas anak bercerita kena marah dengan cikgu pergi jumpa cikgu dan kata kat cikgu… “Anak saya ni tak boleh kena marah… Kalau kena marah dia akan buat perangai…” Adoiii…. Kalau macam tu…anak tak boleh kena marah, sila fikirkan semula tujuan menghantar anak ke tadika. Nak tau tak? Kak Fa sendiri kan, Kak Fa sendiri yang beri green light pada cikgu-cikgu Firash untuk marah dan tegur Firash kalau Firash buat perangai atau melakukan kesalahan di tadika. Kak Fa sendiri yang minta cikgu-cikgu untuk tidak memanjakan Firash di tadika walaupun hakikatnya dia adalah pelajar yang paling manja dengan cikgu-cikgu di tadika. Cikgu-cikgu memang suka manjakan dia dan sayang pada dia. Pengetua dia sendiri pun beritahu Kak Fa perkara ni. Tapi dalam keadaan macam tu, Kak Fa sendiri minta ok? Berkali-kali Kak Fa minta. Kak Fa tak nak Firash rasa dia special sangat dekat tadika.

Beri Ruang Kepada Guru Mendidik Anak

Di rumah, kita yang berkuasa untuk menentukan bagaimana kita mahu mendidik, membentuk serta mencorakkan anak-anak kita, tetapi di sekolah…kita tidak punya kuasa untuk menentukan bagaimana cikgu perlu mendidik, membentuk serta mencorakkan anak-anak kita. Tolonglah jangan campur tangan jika tidak perlu. Jika perlu sahaja. Bukan kuasa kita untuk memberitahu pada cikgu-cikgu, anak saya ni tak boleh ditekan sangat, anak saya ni dia tak suka kalau paksa dia mewarna ke mengira ke apa…bila dia nak dia tau buat sendiri…. Saya tak suka cikgu beri tekanan pada anak saya. Haaaa…. memang salah sangat pada mata Kak Fa tau… Eh, Kak Fa ada ke perkara macam ni berlaku… Adalah…. Memang ada…Kak Fa taulah…Ini realiti ya? Bukan cerita yang direka-reka.

Bertoleransi Dengan Kawan-Kawan Anak

Budak-budak sekejap berkawan elok jer… Sekejap lagi bergaduh. Sekejap lagi suka sangat main sama-sama sampai lupa diri. Sekejap lagi berebut barang. Sekejap lagi atas kenakalan salah seorang ada yang cedera secara tidak disengajakan. Sebab budak-budak ni tau nak seronok ajer. Kalau anak kita yang terbuat anak orang, cepat-cepat siasat dari pihak sekolah, cepat-cepat tengok keadaan anak orang yang dibuat tu dan cepat-cepat minta maaf pada ibu bapa budak-budak tu. Tak kira besar atau kecil, serius atau tidak. Tidak kira anak kita bersalah atau tidak. Jangan terus serang tadika, serang mak ayah budak yang terlibat. Belajar bertoleransi sedikit dengan kawan-kawan anak. Kalau bertanda, luka, cedera, bincang elok-elok secara baik walaupun hati geram ke apa. Huuuu…. Tak syoklah main serang-serang ni kan? Kemudian, pesan juga pada anak sendiri.

Menghormati Ibu Bapa Lain

Kita mungkin tak kenal sesama sendiri. Bila terserempak jangan sombong dan jangan lupa senyum serta bersalam. Bila berkomunikasi tak perlu ada unsur-unsur nak membanding-bandingkan mahupun nak tunjukkan yang anak kita sememang yang terbaik atau jauh lebih baik. Stop comparing the children… mereka semua sama sahaja…Sedang di dalam proses pembelajaran dan masih bereksplorasi. Tak perlu nampak sangat nak berlumba-lumba yang anak kita ni bagus. Chill ajer dah lah walaupun jika sememangnya anak kita bagus. Sebab semua sama ajer…Datang untuk timba ilmu. Tidak semestinya anak orang lain kurang dari satu sudut dia tiada kelebihan dari satu sudut yang lain. Setiap kanak-kanak ada kelebihan dan kekurangan mereka yang tersendiri di dalam proses pembelajaran usia awal. So tak payahlah semua benda-benda ni. Lebih indah kalau kita dapat menjalin hubungan yang baik sesama kita ibu bapa dan menghormati ibu bapa lain.

Jadi ingat ya apa yang Kak Fa pesan ni? Jangan sukarkan keadaan pada perkara yang tidak perlu. Apa yang patut dipermudahkan kita mudahkan. Fussy, demanding dan terlalu risau tidak membawa kepada apa-apa. Let loose tapi sentiasa pantau. Winking smile

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !