Day 2: BALANITIS Pada Kanak-Kanak Lelaki

Farah Waheda Wahid
0
Kredit: Gambar diubahsuai dari sumber dari Google

Sambungan kepada kisah staycation kami di KPJ Selangor Specialist Hospital di hari kedua... Bukan sekadar disahkan positif Influenza A sahaja tetapi nak dijadikan cerita, di hari yang sama juga, tiba-tiba alat kelamin Firash membengkak secara tiba-tiba dan kemerah-merahan. Terjadilah kisah day 2: BALANITIS pada kanak-kanak lelaki. Ya... Itu adalah dinamakan sebagai BALANITIS. 

Jadi secara tiba-tiba jer ya. Firash pun tak adalah menangis sakit ketika nak membuang air kecil sewaktu peringkat permulaan BALANITIS ni. Diulangi... Firash tak menangis sakit ketika nak membuang air kecil sewaktu peringkat permulaan BALANITIS. Tapi di hari ketiga... ya ampun... mak dia yang tengok dia menggigil menahan kesakitan tu memang kena bertabah dan keraskan hati banyak-banyak. Kesian weiii.... sambil buang air kecil sambil menjerit-jerit... 'Adoilahhh Mommy.... Sakit kencing dia... Adoiii sakit...'. Sambil meleleh-leleh air mata dan menggigil-gigil satu badan. Nak buat macam mana nak? Kita terpaksa lalu dan hadap juga. 

Sebab dah melalui dan sebab dah punya pengalaman, Kak Fa kongsikan di Bubblynotes, supaya mak ayah dekat luar sana yang punya anak lelaki tahu kemungkinan BALANITIS boleh terjadi kepada anak-anak lelaki anda masing-masing. 

Apa Itu BALANITIS?

Menurut sumber dari SINI, BALANITIS adalah merupakan sejenis radang yang terjadi pada kawasan kepala alat kelamin lelaki yang belum dikhatankan. Penyakit ini mengakibatkan alat kelamin sakit, menjadi merah, bengkak dan sakit ketika membuang air kecil. 

BALANITIS bukan merupakan satu penyakit yang serius tetapi semua lelaki - khususnya yang belum dikhatankan boleh mengalami BALANITIS. BALANITIS boleh dialami oleh lelaki di semua peringkat usia tetapi lebih kerap terjadi kepada anak-anak lelaki di bawah usia 4 tahun. Mengikut statistik, 1 dari 25 kanak-kanak lelaki dan 1 dari 30 lelaki dewasa yang belum dikhatankan. Firash dah termasuk di dalam statistik 1 dari 25 kanak-kanak lelaki tu dah. 

Gambaran Kak Fa dah berikan, tetapi kalau nak tengok betul-betul rupa BALANITIS tu macam mana, sila Google ya? Ha ha ha... Tak sanggup Kak Fa nak muat naik gambar alat kelamin anak sendiri (aib dia tu) dan tak sanggup Kak Fa nak muat naik gambar dari Google juga dan tempek di entri ni. Faham kan?

Punca BALANITIS?

Kak Fa memang tidak ada sebarang pengalaman tentang bab ini. Kak Fa betul-betul sangkakan yang BALANITIS yang dialami oleh Firash adalah berpunca daripada Influenza A dia tu. Kak Fa memang fikir itu adalah kesan sampingan dari Influenza A. Akan tetapi, bila Kak Fa menggali Google kembali, Kak Fa terjumpa senarai punca BALANITIS sepertimana yang diterangkan melalui artikel di SINI:

Alahan

Radang boleh disebabkan oleh alahan kepada bahan kimia yang terdapat pada sabun/krim/bedak yang digunakan. Pembersihan yang berlebihan juga boleh menyebabkan iritasi kulit. Sesetengah masalah kulit seperti ekzema juga boleh menyebabkan berlakunya alahan. 

Jangkitan

Jangkitan bakteria atau kulat boleh menyebabkan radang. Kelembapan kulit terutama bagi kanak-kanak yang menggunakan lampin boleh menggalakkan pembiakan kulat. Faktor kebersihan juga boleh menyebabkan jangkitan bakteria. 

Luka/Gigitan Serangga

Kulit hujung kadangkala boleh terluka sekiranya cuba ditolak ke atas secara paksa. Luka boleh mendedahkan kulit kepada bakteria. Gigitan serangga seperti semut atau kutu juga boleh menyebabkan bengkak, merah dan kadangkala gatal. Tanda-tanda jangkitan glans atau disebut BALANITIS adalah seperti merah, bengkak sama ada di hujung atau keseluruhan kulit di kawasan glans atau alat kelamin, sakit di bahagian alat kelamin atau semasa membuang air kecil, keluar nanah atau cecair yang berbau busuk dan demam. 

Rawatan untuk BALANITIS

Rawatan untuk BALANITIS adalah bergantung kepada tahap dan jenis jangkitan. Doktor mungkin menasihatkan merendamkan bahagian badan kanak-kanak lelaki di dalam air suam atau air bercampur garam 2-3 kali sehari (warm bath atau Sitz bath). Ini dapat membersihkan kawasan jangkitan dan meredakan sakit dan radang. 

Ataupun krim anti kulat atau antibiotik akan diberikan bergantung kepada jenis jangkitan, krim steroid boleh mengurangkan radang, kadangkala ubat makan antibiotik diperlukan. Bagi jangkitan yang lebih teruk, mungkin memerlukan antibiotik menerusi intravena. 

Rawatan surgeri pula, kadangkala diperlukan sekiranya komplikasi yang lebih teruk seperti bernanah atau kanak-kanak tidak dapat membuang air kecil disebabkan oleh bukaan kulit hujung tersumbat. 



Untuk Firash, doktor bekalkan dengan ointment antibiotik yang Kak Fa paparkan di dalam gambar di atas untuk disapukan dua kali sehari selepas mandi. Doktor juga memulakan antibiotic medication untuk Firash bagi membantu di dalam proses penyembuhan BALANITIS yang dihidapi oleh Firash. Hati mak biasalah... doa banyak-banyak supaya prosese penyembuhan adalah di dalam kadar segera. 

Tapi Kak Fa tak duduk diam juga. Sambil-sambil tu Kak Fa sulam dengan ikhtiar Kak Fa sendiri. Kak Fa sapukan secara kerap Young Living Essential Oil - Copaiba yang dilapiskan dengan Young Living Essential Oil - Purification. 



Alhamdulillah, kedua-dua Young Living Essential Oil ni sangat-sangat membantu. Kak Fa sapukan secara topikal dan neat. Bermaksud Kak Fa tak dilute pun. Bengkak surut dengan agak cepat dan kelihatan Firash lebih selesa selepas gabungan rawatan doktor dan juga ikhtiar Kak Fa. 

Perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua ibu bapa adalah:

1. Jangan membersihkan alat kelamin secara keterlaluan walaupun kadangkala smegma sukar untuk dibersihkan. 

2. Jangan memaksa kulit hujung ke atas untuk membersihkan glans kerana ini boleh menyebabkan luka atau parut terjadi. 

3. Jangan membiarkan air kecil atau najis terlalu lama tanpa dibersihkan atau tidak menukar lampin dengan segera. 

4. Elakkan menggunakan bahan mandian/cucian/bedak yang berlebihan atau yang tidak sesuai dengan anak kecil di kawasan berkenaan. 

5. Cuci dengan air suam dan rawat jangkitan kulat atau iritasi kulit dengan segera. 

Pengalaman itu mematangkan, Kak Fa tak pernah claim yang diri Kak Fa sempurna sebagai ibu tetapi Kak Fa kerap kali beritahu, there is no perfect parenting. Mungkin apa yang berlaku ada berpunca dari kelalaian Kak Fa sendiri juga? Yang Kak Fa mungkin terlepas pandang ataupun tidak sedar? Wallahualam... Cumanya... Ini sebagai peringatan kepada Kak Fa di masa akan datang. 

Bila berlaku BALANITIS, doktor ambil sedikit sampling urine Firash. Hasil ujian tidak berapa memuaskan dan menunjukkan terdapat sedikit sel darah merah, sel darah putih dan juga jangkitan bakteria pada urine Firash. 

Waktu tu kan... Terus pop up dalam otak Kak Fa... Nampaknya staycation kali ni di KPJ Selangor Specialist Hospital akan menjadi panjang sedikit dari sebelumnya... Hu hu hu... 

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !