Kenyataannya sememangnya tidak selamanya anak akan berada di bawah celah ketiak ibu bapa. Apabila sudah mula bersekolah, sudah mula meningkat usia, mereka sudah ada set mereka yang tersendiri dan mereka sudah mula mencari ruang waktu untuk diri mereka sendiri. Suka atau tidak, itulah perkembangan kitaran manusia. Benda-benda ni semua akan dirasai oleh setiap manusia. Jika sewaktu bayi, sewaktu kanak-kanak, ke mana sahaja kita pergi, ke mana sahaja kita ada, di situlah ada anak… Jangan kecil hati ataupun terperanjat sekiranya apabila semakin meningkat usia, terutama apabila sudah mencapai belasan tahun…waktu itu anak sudah mula berkira-kira dan pandai memajukan permohonan untuk tidak mengikuti ibu bapa dan memberitahu bahawa mereka sudah ada rancangan mereka yang tersendiri. Ada ya bukan tak ada… Memang bukan semua anak-anak begitu tetapi ada… Cuma…ada yang mengatakan bahawasanya anak akan rapat dengan ibu bapa sampai umur 12 tahun sahaja!
Jom kira ada berapa tahun lagi yang kita ada untuk rapat dengan anak-anak kita semua…
ha ha ha… Gunakanlah masa yang ada ni dengan sebaik-baiknya dan cherish the moments agar kita tidak merasa rugi kerana ianya berlalu sebegitu sahaja. Bak kata artikel di SINI, kalau ikutkan zaman sekarang, ramai ibu bapa yang keluar bekerja pagi balik malam. Kadang-kadang sampai rumah tengok anak-anak dah sedap tidur. Allahu…bila masa nak dengar luahan cerita anak? Bila masa untuk manjakan anak? Anak-anak memerlukan perhatian yang secukupnya daripada kita sebagai ibu bapa.

Bila anak sudah meningkat dewasa, sudahnya ibu bapa pula yang akan rasa terabai. Sedikit demi sedikit anda akan nampak perubahan sikap si anak. Antara positif ataupun negatif, terpulang kepada layanan kita kepada mereka sewaktu anak masih kecil. Jadi sebelum terlambat, jom kita sama-sama baca perkongsian oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini, kisah yang cukup baik untuk dibaca oleh semua ibu bapa.
Semalam, aku mengeteh bersama 3 lagi rakan. Dari jam 11.00 pagi sehingga jam 1.30 pagi. Macam-macam hal kami bincang dan borakkan. Di antara satu sisipan kopi panas, sahabat ini mula membuka topik baru.
“Anak-anak kita ni, waktu kecil sahaja rapat dengan kita. Hingga Darjah 6 sahaja. Selepas itu dia mula masuk ke sekolah asrama. Makin jauh, dan makin renggang hubungan. Jumpa pun sebulan sekali. Itu pun kalau kita tidak sibuk.”
Kami bertiga mengangguk kepala. Seorang demi seorang mencelah memberi idea dan pandangan. Kesimpulannya, kami semua setuju dengan apa yang dia katakan. Benarlah. Walau anak itu tidak ke asrama sekali pun, dia dah meningkat remaja. Bila menginjak remaja, dia mula ada rahsia. Mula ada rasa ingin berteman. Mula rasa ingin ruang untuk diri mereka. Biasalah, remaja. Kita pun pernah remaja kan?
Mereka mula pandai berdikari. Tidak lagi boleh didukung kita. Tidak lagi mahu main kuda-kuda. Tidak lagi berebut nak panjat atas belakang. Nak makan bersuap jauh sekalilah. Sahabat ini, dulunya dia punya perniagaan yang berjaya. Sehingga satu saat, dia jatuh terduduk ditipu kawan sendiri. 6 bulan tanpa kerja, berfikir dan merancang untuk strategi bisnes yang seterusnya.
Bila tanpa kerja, sehariannya hanya di rumah. Menghantar anak ke situ sini, membantu anak membuat kerja sekolah, melayan apa juga permintaan mereka. Penat. Tapi dia puas. Letih, tapi hubungan dia dan anak lebih berkualiti dan rapat.
“Agaknya Allah sengaja uji aku agar aku sedar dan beri peluang untuk aku lebih rapat dengan anak-anak,” ujarnya sambil menguntum senyum. Kini dia mula melebarkan empayarnya sedikit demi sedikit. Makin kukuh dan berjaya empayar baru ini. Lebih gah dan besar berbanding bisnes dulu. Tapi kali ini, dia sudah pandai bahagi masa untuk bersama keluarga dan anak-anak. Allah dah “tegur” dia dulu, kali ni dia ingat.
In Shaa Allah, mari kita sama-sama mencuba yang terbaik untuk anak-anak kita semua ya?Kalau kita ada anak kecil, luangkanlah masa bersama mereka walau sesibuk mana pun. Biar ada memori untuk mereka dan kita kenang di masa akan datang. Sekejap sahaja anak ini membesar. Jangan kita tersedar bila mereka telah pun pandai berdikari. Saat mereka telah pun meningkat remaja. Masa itu kita akan rindukan anak kecil kita yang minta kita buatkan susu. Yang minta sapukan jem pada rotinya. Jangan terlampau sibuk dengan dunia sehingga terlupa, harga anak itu jauh lebih bernilai dari dunia dan segala isinya. Jangan sehingga anak itu membesar, hanya kenangannya dengan bibik yang kekal di ingatan. Jangan! Anak itu harta dunia akhirat.

betul juga. sebab itu hargai setiap masa masa diorg kecik ni
ReplyDelete