Sungguhpun Marah Anak JANGAN MAKI Tapi DOAKANLAH!

Farah Waheda Wahid
1
Sumber diubahsuai dari Google
Ishhh... kadang-kadang jadi tak faham betul dengan sikap sesetengah manusia ni... Nak cakap lebih-lebih, siapalah awak kan? Takkan nak masuk campur urusan keluarga orang lain dan cara seseorang tu nak didik anak sendiri? Sendiri ada anak, jaga jer anak sendiri. Nanti orang kata, kain orang terselak kita ni sibuk dok tegur tapi kain sendiri terselak tak perasan pula. Tak naklah sampai macam tu kannn? Tapi tulah...Hurmmm... Malam semalam... ada berlaku satu insiden di mana kedengaran suara salah seorang jiran sebelah menyebelah marah anaknya yang sudahpun bersekolah rendah dengan kata-kata makian yang sangat kesat! Adoiii...Mesti pedih dan luluh hati anak tu bila dengar kata-kata makian dari ibu bapa sendiri... 

Yang ibu tergamakkah memaki anak sendiri yang dikandung dan dibawa ke hulu ke hilir selama 9 bulan 9 hari, kemudian merasai sakit bersalin dan bertarung nyawa untuk melahirkan anak itu. Sampai ke hati nak maki anak? Yang bapa? Itu benih awak kot? Awak yang azankan sewaktu anak tu lahir... Takkan tergamak nak memaki anak sampai begitu rupa? Teruklah makian tu...Yang Farah boleh katakan ianya sangat-sangat kesat dan tidak bersesuaian dengan usia anak itu. Kami seisi rumah yang terdengar secara kebetulan hanya membatukan diri tetapi Mama kita adalah psssttt psssttt dengan kita, nyatakan tidak sepatutnya anak itu diperlakukan sedemikian rupa. 

Iya...kalau sudah namanya manusia memang kita ni tidak boleh lari daripada ada perasaan marah. Bagi yang bergelar ibu bapa, ada kalanya marah itu macam sebahagian daripada rutin harian. Maklumlah tugas membesarkan seorang anak kadang kala boleh "terlepas" juga marah sesekali. Iman Firash pun kena marah juga! Tapi tak adalah sampai ke tahap nak keluarkan kata-kata makian! Marah sekadarnya untuk mendidik dan membentuk... Biasalah tu, menghadapi kerenah anak kecil memang menguji kesabaran ibu dan bapa. Walaupun cuba menahan sabar tetapi kadang-kala "termarah" juga. 

Sebenarnya kan... tak salah pun marahkan anak-anak sendiri asalkan sahaja kena pada tempatnya. Kalau anak buat silap, memang wajib ditegur dan dimarah. Tetapi marah itu biarlah berpadajangan sampai meninggalkan kesan mendalam pada emosi anak atau menyakitkan fizikalnya pula! Orang kata, nak marah tu biar berakal sikit yer? Kawal apa yang diucapkan dari mulut dan pergerakan tangan ketika marah jangan sampai menyakitkan anak.

Bukan nak suruh manjakan atau bagi muka sangat pada anak punnn...Nanti kalau manjakan terlebih dan terlalu bagi muka, tak jadi manusia pula anak tu... Hurmm... Cumanya, ingatlah apa yang diucapkan dan dicakapkan oleh mulut menjadi satu doa yang boleh diperkenankan oleh Allah SWT. Maka cakap yang baik-baik, minta yang baik-baik. Walau tengah marah, cubalah ucapkan kata yang baik-baik untuk anak-anak. Tak sayang ke anak tu oiii? 

Artikel di SINI, mengatakan bahawasanya walaupun payah tetapi mesti dicuba! Bimbang kesan buruk berikut ini terjadi keapda anak jika mulut bukan mengucapkan doa tetapi maki hamu ketika memarahi anak-anak.

Kalau Allah Makbulkan Permintaan
Kalau tengah marah, memang macam-macam perkataan boleh keluar dari mulut seorang manusia. Bayangkan kalau setiap kali marahkan anak, anda akan memaki hamunnya? 

"Dahlah degil, pemalas pulak tu. Nak jadi apa agaknya kau ni!" Kalau selalu kita sebut perkataan itu, setiap kali marah anak dan tiba-tiba diperkenankan oleh Allah SWT? Maka terjadilah ia...Bagaimana?

Memori Anak Sangat Kuat
Jangan terkejut sekiranya anak anda yang sudah berusia 12 tahun masih ingat lagi saat dia dimarah atau dipukul dengan teruk atas kesalahan yang sangat sedikit ketika dia masih kecil lagi. 

Memori anak kecil ni sangat kuat untuk merakam dan mengimbas kembali perkara yang sangat menyakitkan hatinya. Bayangkan jika kata-kata maki hamun yang anda ucapkan kepadanya ketika kecil terus bermain di dalam kotak memorinya sepanjang hayat? Buruk atau baikkah kesannya? Tepuk dada tanya diri sendiri.

Kesan Buruk Kepada Perilaku Anak
Anak yang terlalu kerap dimarahi akan membesar sebagai anak yang pendendam atau mungkin juga menjadi seorang pembuli. Perhatikan karakter anak anda. Mungkinkah kerana dia terlalu kerap dimarahi?

Anak Pun Suka Marah
Bukankah anak-anak belajar daripada apa yang mereka lihat dan dengar? Kalau anak juga cepat marah janganlah terkejut atau nak marah dia semula. Cuba tengok diri sendiri balik? 

"Eh, kenapa anak aku pun dah pandai marah-marah macam aku ni? Sama pulak tu gaya marahnya!". Kalau anda pernah berkata sedemikian dalam hati, itu tandanya ajaran anda sudah berjaya dicontohi oleh anak. Sebelum itu berlaku, lebih baik kawal marah dengan diam dan kunci mulut.

Anak Kurang Berkeyakinan
Akibat terlalu kerap dimarahi, anak jadi takut hendak mencuba sesuatu perkara terutama apabila berada bersama kawan-kawan. Dia bimbang untuk melakukan kesilapan kerana takut akan dimarahi. 

Perasaan dimarahi itu sangat menyedihkan kepada anak-anak. Walaupun ketika dimarahi, mereka diam dan tak berani membantah tetapi hakikatnya dalam hati akan tertanya-tanya sama ada ibu dan bapa sayang akan mereka atau tidak sebenarnya. 

Orang katalah kannn? Kalau dah kerap sangat marah anak... Selalu sangat marah anak...Lama-lama anak tu jadi lali... Lama-lama dah jadi tak hairan dah dia kalau kena marah sekalipun...Ko cakaplah sampai berbuih mulut tu...Haram dia nak mendengar atau ikutnya... Sebab dah lali dah kena marah selalu kan?

Makanya, untuk kita-kita yang bergelar ibu bapa ni sentiasalah sama-sama kita semua ingatkan diri, berhentilah daripada marah dengan cara berleter panjang kerana apabila kita mula membebel, kita akan cenderung berkata yang bukan-bukan dan keluar perkataan yang tidak elok. 

Bimbang kalau-kalau ada kata-kata yang akan melukakan hati anak kita selama-lamanya. Lebih bimbang kata-kata buruk yang terucap akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Jadi jomlah mak-mak, abah-abah semua, kita sentiasa melafazkan kata-kata yang baik walaupun semasa sedang marahkan anak.

Contohnya kalau anak anda menconteng dinding rumah dan anda rasa macam nak jerit marahkan dia sekuat hati, sebaliknya cubalah ucapkan "Ya Allah, bertuah sungguh anak Mommy ni. Memang pandai sangat conteng ya? Dah besar nanti jadi Arkitek ya nak?"

Manalah tahu, ketika kata-kata itu dilafazkan, Allah mengangkat doa kita yang elok itu? 

Post a Comment

1Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !