Cara Meminta Maaf Menurut Islam

Farah Waheda Wahid
1
Sumber dari Google
Bukan setakat muak dan jelak berketupat rendang kuah kacang jer...Ha ha ha... Rasanya diri sendiri pun dah mula muak dan jelak dengan entri yang asyik-asyik pasal Raya, asyik-asyik pasal Raya...Boleh? Sendiri menaip sendiri rasa jelak, tetapi nak juga bercerita dan berkongsi tentang raya... Ha ha ha.... Tapi tak apa ada 2 atau 3 jer lagi entri yang bakal dimuatnaik berkisar tentang raya. Lepas tu dah habis dah kot? Ekekekeke, cerita raya mengalahkan orang yang ada kampung jer... Walhal biasa-biasa jer...

Raya dan Maaf itu adalah sangat sinonim. Bila tiba hari raya jer, semua dok pakat minta maaf zahir batin sana sini sinun kan? Bagi sesetengah orang tak ada masalah pun untuk meminta maaf, tetapi bagi sesetengah orang pula, maaf ni ibarat macam sesuatu yang sangat sukar untuk dilafazkan... Berat sangat rasa hati dan rasa mulut tu nak terbuka. Tapi, Farah faham, ianya bergantung kepada sesetengah keadaan dan juga situasi... 

Bercerita tentang maaf, Farah tertarik dengan satu perkongsian yang Farah temui di laman media sosial Facebook baru-baru ini dan Farah rasa macam nak kongsi jer di Bubblynotes.Com, itu yang jadinya entri ni. He he he... Menurut sumber di SINI

Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk meminta maaf. Tak kiralah minta maaf kepada kekasih, kawan, suami/isteri, ibu bapa, adik-beradik, atau sesiapa sahajalah... Mungkin cara yang paling mudah untuk meminta maaf adalah dengan hanya menghantar What's App, mesej pesanan ringkas. Kalau nak cara yang lebih gentle sedikit adalah dengan bersemuka face to face dan cakap direct saja nak minta maaf. Tapi kalau nak minta maaf dan mengakui kesalahan dengan cara direct nih, tentu kita akan rasa malu kannn? 

Di bawah ini, disenaraikan beberapa tips yang berguna untuk sesiapa yang agak sukar untuk meminta maaf dan mengakui kesalahan:

Langkah-Langkah:

1. Fikirkan apa yang telah berlaku dan perbuatan apa yang anda mahu dimaafkan. 

2. Tuliskan perkara tersebut; ini akan membantu anda mengatur idea dan meredakan ketegangan perasaan anda. 

3. Berlatih perkara yang anda hendak cakapkan sehingga anda merasa selesa dengannya. 

4. Nyatakan dengan jelas perbuatan yang anda mahukan kemaafan. 

5. Mengakui perbuatan anda tanpa mengemukakan sebarang alasan.

6. Berkongsi perasaan anda mengenai apa yang telah terjadi - elakkan daripada menyalahkan orang lain, membesar-besarkan cerita atau menyebut kata-kata yang sia-sia. 

7. Mendengar respon daripada orang berkenaan tanpa mempertahankan diri. 

8. Tawarkan diri untuk memperbaiki keadaan sekiranya sesuai. 

9. Teruskan kehidupan. Apabila anda telah meminta maaf, lupakannya dan biarkan ia berlalu. 

Panduan-Panduan:

*Fikirkan bahawa memohon kemaafan itu sebagai satu komitmen terhadap perhubungan dan bukannya satu kelemahan diri. 

*Ikhlas. Meminta maaf terhadap perkara-perkara yang anda benar-benar berasa bertanggungjawab terhadapnya, jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana. 

*Beri masa kepada orang berkenaan untuk menenangkan perasaannya- jangan berasa tawar hati sekiranya anda tidak dimaafkan sepenuhnya pada masa anda meminta maaf. 

Bagaimana "Maaf" Dalam Pandangan Islam?
Setiap manusia pernah melakukan kesalahan. Kesalahan, kekhilafan adalah fitrah yang melekat pada diri manusia. 

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap manusia pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pelaku kesalahan itu adalah orang yang segera bertaubat kepada Allah SWT".

Ini bererti bahawa manusia yang baik bukan orang yang tidak pernah berbuat salah, sebab itu, mustahil kecuali Rasulullah SAW yang ma'shum (sentiasa dalam bimbingan Allah SWT). Tetapi, manusia yang baik adalah manusia yang menyedari kesalahannya dan segera bertaubat kepada-Nya. Dalam Islam, mampu memaafkan kesalahan orang lain merupakan salah satu ciri orang yang bertaqwa (muttaqin). 

Allah SWT berfirman: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu, Allah menyediakan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang atau sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan." (QS. Al-Imran: 133 - 134).

Ibnu Qudamah dalam Minhaju Qashidin menjelaskan bahawa makna memberi maaf di sini ialah sebenarnya engkau mempunyai hak, tetapi engkau melepaskannya, tidak menuntut qishash atasnya atau denda kepadanya. Quraish Shihab dalam Membumikan Al-Quran menjelaskan: Kata maaf berasal dari bahasa Al-Quran alafwu yang bererti "menghapus", iaitu yang memaafkan menghapuskan bekas-bekas luka di hatinya. Bukanlah memaafkan namanya, apabila masih ada tersisa bekas luka itu di dalam hati, bila masih ada dendam yang membara. 

Boleh jadi, ketika itu apa yang dilakukan masih dalam tahap "masih menahan amarah". Usahakanlah untuk menghilangkan noda-noda itu, sebab dengan begitu kita baru boleh dikatakan telah memaafkan orang lain. Islam mengajak manusia untuk saling memaafkan. Dan memberikan posisi tinggi bagi pemberi maaf. Kerana sifat pemaaf merupakan sebahagian dari akhlak yang sangat luhur, yang harus diikuti bagi seorang Muslim yang bertaqwa. 

Allah SWT berfirman: "...Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas tanggungan Allah." (Q.S. Asy-Syura: 40).

Dari Uqbah bin Amir, dia berkata:

"Rasulullah SAW bersabda, "wahai Uqbah, bagaimana jika ku beritahukan kepadamu tentang akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling utama? Hendaklah engkau menyambung hubungan persaudaraan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, hendaklah engkau memberi orang yang tidak mahu memberimu dan maafkanlah orang yang telah menzalimimu." (HR.Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baghawy).

Al-Quran memang menetapkan, bahawa seseorang yang diperlakukan secara zalim diizinkan untuk membela diri tapi bukan didasarkan balas dendam. Pembelaan diri dilakukan dengan penuh simpati seraya menunjukan perangai yang luhur, bersabar, memaafkan dan toleran. Ketika Matsah yang dibiayai hidupnya oleh Abu Bakar menyebarkan gosip yang menyangkut kehormatan puterinya, Aisyah yang juga isteri Nabi. Abu Bakar bersumpah tidak akan membiayainya lagi. Tapi, Allah melarangnya sambil menganjurkan untuk memberikan maaf dan berlapang dada.

(Q.S. an-Nur : 22). Dari ayat ini ternyata ada tingkatan yang lebih tinggi dari alafwu (maaf), iaitu alshafhu. Kata ini pada mulanya bererti kelapangan. Darinya dibentuk kata shafhat yang bererti lembaran atau halaman, serta mushafahat yang bererti berjabat tangan. Seorang yang melakukan alshafhu seperti anjuran ayat diatas, dituntut untuk melapangkan dadanya sehingga mampu menampung segala ketersinggungan serta dapat pula menutup lembaran lama dan membuka lembaran baru.

AlShafhu yang digambarkan dalam bentuk jabat tangan itu, menurut Al-Raghib al-Asfahaniy "lebih tinggi nilainya" dari pada memaafkan. Dalam alshafhu dituntut untuk membuka kembali lembaran baru dan menutup lembaran lama." Let’s gone be by gone (yang lalu biarlah berlalu) bangunkan kembali masa depan dengan semangat yang baru. Kita selalu lupa, hanya kerana kesalahan yang telah dibuat orang lain, kita melupakan semua kebaikan yang pernah dibuatnya. Untuk itu, kita juga harus memperlakukan semuanya secara seimbang.

Yang terbaik buat kita hari ini adalah bersama-sama bangun kembali dengan semangat baru, ketulusan hati dan semangat persaudaraan. Jangan ada yang berkata: "Tiada maaf bagimu". Ahli hikmah mengatakan: Ingatlah dua hal dan lupakanlah dua hal. Lupakanlah kebaikanmu kepada orang lain dan lupakanlah kesalahan orang lain kepadamu.

Wallahu a’lam...

Inilah serba sedikit ilmu mengenai MAAF... nak minta maaf, bila-bila masa pun boleh kan? Tak semestinya nak kena tunggu Hari Raya... semoga ilmu yang ada ni memberi manfaat kepada diri Farah sendiri dan sesiapa yang membacanya... 

Post a Comment

1Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !