Ibu Sibuk : Curi Masa Untuk Berzikir

Farah Waheda Wahid
2
Sumber diubahsuai dari Google
Dunia sudah semakin hampir ke penghujungnya, tak perlu dihuraikan terlalu panjang, tak perlu diperhalusi satu persatu setiap incinya kerana telah seringkali diperbincangkan, telah acapkali diperkatakan… Untuk bekalan diri sendiri, untuk bekalan di sana… Apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa memperbaiki amal ibadah dan diri sendiri… Bukan nak kata, Farah ni baik sampai nak memuatnaik entri yang berunsurkan keagamaan begini. Cuma ianya adalah sesuatu yang Farah cuba perbaiki diri Farah dari semasa ke semasa… Siapa yang tidak mahu menjadi lebih baik dan “excellent” di dalam amal ibadahnya kan? Siapa yang tidak ingin semakin hari semakin banyak mendekatkan diri kepada Allah SWT kan? Masa silam adalah masa silam, akan tetapi, tidak salah jika kita ingin berubah ke arah jalan yang lebih baik serta diredhai oleh Allah SWT.

Tertarik dengan satu artikel di SINI, yang Farah rasakan bukan sahaja amat bermanfaat kepada diri Farah sendiri tetapi juga kepada ibu-ibu di luar sana… Perkara yang baik apalah salah kita berkongsi kan? 

Bangun tidur seawal jam 5 pagi, solat tahajud, siapkan sarapan pagi dan bekalan anak untuk ke sekolah. Periksa keperluan anak-anak. Hantar anak ke sekolah. Balik rumah siapkan kerja-kerja rumah, masak makan tengah hari. Ambil anak dari sekolah, solat zohor, hantar anak sekolah agama. Balik rumah, angkat kain baju dan lipat, siapkan makan malam, solat asar, ambil anak dari sekolah. Uruskan anak-anak di rumah, solat maghrib, ajar anak mengaji Al-Quran, makan malam, mengemas rumah, bantu anak-anak buat kerja sekolah, solat Isyak, masuk tidur. Mata ibu akan terus terpejam saat kepala diletakkan di atas bantal. Anda berjanji kepada diri sendiri untuk berzikir tetapi mata terlelap sebelum sempat berzikir mengingati Allah.

Ini adalah rutin harian biasa seorang ibu yang tidak bekerja dan mempunyai anak-anak yang sudah bersekolah. Bagi yang bekerja pula rutinnya sama sibuk menguruskan keluarga dan rumahtangga sebaik sudah berada di rumah. Seolah-olah ibu tiada langsung masa “seminit” untuk diri sendiri apatah lagi untuk melakukan lebih banyak amal ibadat. Ia kadang kala membuatkan ibu rasa bersalah. Sebetulnya, ibu juga sedang melakukan satu ibadat apabila dia menguruskan segala keperluan anak-anak, suami dan rumahtangga. Berdoalah kepada Allah SWT agar mengurniakan balasan pahala atas setiap titisan peluh yang mengalir dan setiap keletihan yang dirasakan.

Niatkan segala apa yang dilakukan itu adalah kerana Allah SWT dan bukan kerana terpaksa atas dasar tanggungjawab sebagai ibu. Semoga segala kepenatan dan keletihan yang dirasakan mendapat balasan syurga dari Allah SWT. Walaupun sibuk seperti lipas kudung ia bukan alasan untuk supermom melupakan amalan membasahkan lidah dengan berzikir. Kita selalu fokus kepada memenuhi keperluan kesihatan badan dan melupakan keperluan jiwa. 

Jangan lupakan makanan rohani kerana ia sama penting untuk menguatkan jiwa dan minda kita apatah lagi dalam masa yang sama kita bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak. Tujuan melakukan amalan zikir mengingati Allah adalah untuk membersihkan hati dan jiwa serta menyedarkan suara hati kita sebagai manusia. Apabila hati dalam keadaan tenang, kita mudah untuk berfungsi dengan baik. Kita akan merasa produktif dan proaktif. Kita akan sentiasa rasa bersyukur dengan apa sahaja yang ada pada kita. Bagaimana kita hendak jadikan zikir sebagai satu amalan rutin setiap masa? Tiada alasan sibuk atau tak cukup masa. Inilah jawapannya:

Sentiasa Berdoa dan Mengingati Bantuan Allah SWT
Sentiasa banyakkan berdoa, terutama selepas setiap solat fardu supaya sentiasa dilimpahi berkat dariNYA. Peruntukkan sekurang-kurangnya 15 minit daripada 24 jam setiap hari untuk merenung dan muhasabah diri serta mengingatkan diri atas bantuan dariNYA ke atas anda.

Cuba tanamkan rasa kesyukuran dan terhutang budi dalam hati anda. Masa terbaik melakukan perkara ini adalah selepas solat fardu kerana ketika itu kita berada di dalam “mood” beribadat. Cara ini membantu anda mempraktikkan zikir hati (mengingati Allah dengan menggunakan hati.). 

Solat dan Membaca Al-Quran
Salah satu daripada zikir lisan (mengingati Allah secara verbal) adalah bersolat. Didik diri untuk sentiasa solat tepat pada waktunya dan penuh kekhusyukkan. Anda boleh merancang tugas-tugas rumahtangga dengan pembahagian mengikut waktu solat. Contohnya, anda boleh rancang menyiapkan tugas memasak dan membersih 15 minit sebelum solat Zohor jadi anda boleh bersiap fizikal dan mental untuk bersolat sebelum azan berkumandang. Solat adalah salah satu cara berkesan untuk menghapuskan rasa tertekan dan kebimbangan yang dialami. Serahkan diri anda bulat-bulat kepada Sang Pencipta.

Pernahkah anda berasa tidak tenang jika sehari tertinggal membaca Al-Quran? Bersyukurlah kerana itu tandanya Allah mengurniakan hidayah kepada diri anda. Sesungguhnya amalan membaca Al-Quran dengan konsisten setiap hari banyak membantu anda menjadi insan yang redha, sabar, berserah diri kepadaNYA dalam segala hal. Peruntukkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran setiap hari. Contohnya, sebelum solat Subuh (ketika anak kecil anda belum bangun) atau selepas solat fardu. Jika yang bekerja, mungkin boleh mulakan dengan menggunakan aplikasi Al-Quran dalam telefon pintar anda. Mulakan dengan sedikit dahulu tetapi jadikan amalan harian. In Shaa Allah, anda akan terus meningkat bacaan setiap hari.

Berzikir Ketika Buat Rutin Kerja
Siapa kata ibu bekerja atau ibu sibuk buat kerja rumah tidak boleh berzikir? Biasakan lidah anda untuk berzikir ketika sdang membuat kerja sama ada di rumah atau di pejabat. Contohnya sambil memasak, membasuh pinggan atau menaip di depan PC ketika di pejabat, anda boleh berzikir. Untuk memudahkan, anda boleh pilih zikir spesifik ketika sedang sibuk bekerja. Misalnya, anda boleh tulis “SubhanAllahi wa bihamdihi” di atas “post-it-note” dan tampalkannya di kabinet dapur atau di depan PC sebagai peringatan untuk membacanya ketika memasak atau menaip.

Kerap Dengar Zikir Dengan Anak & Manfaatkan Teknologi
Manfaatkan penggunaan teknologi yang anda miliki dengan memuat naik alunan zikir di tablet, telefon pintar dan CD. Anda boleh dengar bersama-sama si kecil ketika sedang bersantai dengannya di masa lapang, sebelum tidur atau semasa memandu kereta bersama anak-anak. Biasakan mereka dengan alunan zikir agar ia akan menjadi amalan di bibir mereka kelak.

Mengingati Allah Dalam Pertemuan Dengan Kawan
Semasa pertemuan dengan kawan-kawan untuk minum kopi sambil berkongsi pengalaman dan bertukar tips menguruskan keluarga, anda boleh memperuntukkan sedikit masa untuk berbincang tentang mengingati Allah. Sekurang-kurangnya pertemuan anda ada faedahnya serta diberkati oleh Allah SWT berbanding hanya bercakap kosong dan mengata orang.

Zikir Bersama Keluarga
Pilih satu hari dalam seminggu untuk anda sekeluarga berzikir, bersama-sama. Mungkin dalam sesi tersebut, suami boleh berkongsi sebarang cerita/kisah yang ada dalam Al-Quran, kisah sahabat Nabi atau apa sahaja yang membawa manfaat kepada ahli keluarga.

Mungkin bagi yang ada anak kecil boleh buat aktiviti menyeronokkan seperti membuat kraf. Membuat kad ucapan untuk hari lahir kawan-kawannya dengan menulis zikir "Alhamdulillah SubhanAllah, Allahu AKhbar". Ia membantu anak anda mengaitkan zikir dengan sesuatu yang menyeronokkan dan pembacaan lisan membantu mereka mengingati Allah bila-bila masa.

Menjadi ibu yang sibuk bukan bermakna tiada masa untuk kita mengingati Allah kerana apabila kita sentiasa mengingatiNYA, sebenarnya kita  mendidik diri lebih berdisiplin, bersabar, bertenang dan redha. Semoga dengan rajin  berzikir, kita mampu menjadi Muslimah sejati dan ibu yang produktif. Insha Allah!

Post a Comment

2Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !