Jangan Sempitkan Pendidikan Seks!!!

Farah Waheda Wahid
0
Sumber dari Google
Kanak-kanak yang sedang berkembang memang mempunyai seribu satu persoalan yang bermain di minda mereka. Salah satu darinya yang kadang-kala terpacul dari bibir mungil mereka adalah tentang seks dan juga perbezaan jantina, yang mana ada kalanya ibu bapa boleh jadi mati punca tentang bagaimanakah caranya untuk menerangkan tentang seks dan juga tentang perbezaan jantina itu terutamanya tentang perbezaan di antara alat sulit lelaki dan juga alat sulit perempuan, bagaimana lahirnya mereka atau adik mereka? Sebelum itu, diharapkan yang membaca entri ini menerima dengan keterbukaan minda dan bukannya mengaitkan ianya dengan sesuatu yang lucah yer?

Ini kenyataan dan inilah yang berlaku di dalam perjalanan kita sebagai ibu bapa. Akan tiba satu-satu masa, anak-anak akan mula bertanya dan tertanya-tanya. Akan tiba satu masa ianya akan menjadi seolah-olah mereka mendesak untuk ingin tahu dengan lebih lanjut dan inginkan jawapan, Kita? Kita sebagai ibu bapa perlulah bersedia dengan jawapan pula pada waktu dan ketika itu.

Sumber dari Google
Sedikit perkongsian dari artikel yang Farah jumpa dan baca di SINI...

Apa maksud pendidikan seks hinggakan ramai ibu bapa yang skeptikal dengan topik ini?

Dr. Mastura:
Timbul skeptikal dan stigma apabila bercakap tentang pendidikan seks adalah akibat penafsiran yang sempit di kalangan kita. Majoriti kita berpendapat, pendidikan seks itu mestilah melibatkan hubungan seks. Sedangkan tafsirannya adalah lebih luas. Ia meliputi pengajaran tentang kesihatan, kebersihan, hubungan sosial dan gaya hidup sihat. Gaya hidup sihat ini merangkumi konsep perkahwinan, mengekang perlakuan seks rambang dan juga mencegah penyakit berbahaya.

Sebenarnya, pendidikan ini telah pun berlaku secara tidak langsung di peringkat pra sekolah. Misalnya, apabila kita memperkenalkan anggota badan kepada anak-anak, mengajar mereka bahawa yang boleh membersihkan anggota sulit mereka apabila ke tandas ialah ibu bapa atau guru. Demikian juga sewaktu kita memperkenalkan perbezaan antara lelaki dan perempuan.

Malah di taska pun sudah diasingkan lelaki dan perempuan. Kalau mandi pun, mereka cepat-cepat pakai tuala kerana rasa malu jika dilihat oleh kawan berlainan jantina. Inilah sepatutnya maksud pendidikan seks ataupun kesihatan reproduktif yang dicadangkan yang perlu difahami oleh kita.

Saidina Umar RA ada berkata, bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, berkawanlah dengan mereka. Signifikan kata-kata ini dalam pendidikan seks kepada anak-anak? 

Dr. Mastura:
Ini menunjukkan bahawa adalah penting bagi ibu bapa memahami psikologi anak-anak. Ibu bapa juga perlu mempelajari kemahiran keibubapaan. Ilmu ini perlu dipelajari dan kita tidak boleh buat trial and error kerana kesannya akan dilihat untuk jangka panjang. Dengan kata lain, anak-anak perlu diajar dan dididik mengikut tahap kemampuan mereka.

Pada masa yang sama,ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina berpendapat, umur tiga tahun adalah masa paling baik untuk mendisiplinkan anak. Imam al-Ghazali pula berkata, masa terbaik adalah umur antara mumaiyiz (7 tahun) dan baligh. Mumaiyiz bermakna anak-anak sudah boleh membezakan  yang bersih dan kotor, yang baik dan buruk. Pada usia ini, ibu bapa wajib mengajar mereka tentang istinjak atau bersuci.

Dari sudut perkembangan kognitif pula, teori Jean Piaget menjelaskan, pada umur 7 tahun, kanak-kanak sudah boleh membezakan yang abstrak dan konkrit. 

Ia menunjukkan ada titik pertemua antara pandangan Islam dan juga teori Barat dalam perkara ini.

Berbalik kepada kata-kata Saidina Umar tadi, pada usia 14 tahun iaitu semasa anak-anak kita remaja, ibu bapa perlu menjadikan mereka kawan. Ini supaya anak-anak boleh meluahkan perasaan dan berkongsi cerita suka dan duka mereka. Dengan demikian, In Shaa Allah, mereka tidak mudah terjebak dengan gejala sosial. Sebabnya, mereka sentiasa mempunyai "kawan" di rumah untuk berkongsi segala masalah iaitu ibu bapa.

Apabila kita tidak mempraktikkan konsep ini, sebaliknya mengambil pendekatan menghukum semata-mata, anak-anak remaja tadi akan memberontak. Seterusnya mencari "kawan-kawan" yang sealiran dan mula terlibat dalam perbuatan seperti melepak, merempit dan sebagainya.

Masyarakat Melayu umumnya belum terbuka untuk berbincang tajuk seks dengan anak-anak. Adakah elok dikekalkan begitu? Atau sudah sampai masa kita mengubah persepsi ini?

Dr. Mastura:
Saya melihat kita perlu mengubah persepsi ini. Soalnya, jika pendidikan seks tidak diajar di sekolah, apakah jaminan anak-anak kita tidak mempelajarinya melalu internet? Ini jauh lebih bahaya daripada yang diajar oleh guru. Di Internet, apakah bentuk tapisan dan panduan yang ada?

Remaja melayari pornografi di internet akan terdorong untuk mencubanya dalam keadaan mereka sendiri tidak tahu dan tidak memahami konsep hidup sihat. Sebenarnya, pendidikan seks sudah pun diajar melalu subjek biologi atau sains. Murid-murid telah didedahkan dengan hal seperti pembentukan manusia dan organ-organ dalam badan. Cuma, ia lebih kepada berorientasikan peperiksaan. Jadi, murid-murid mungkin lebih menumpu kepada menghafal berbanding untuk memahami subjek tersebut dalam kehidupan sebenar.

Dalam pendidikan Islam pun, hal berkaitan seks iaitu jantina turut diajar. Contohnya dalam bab munakahat, pergaulan lelaki dan perempuan, tanda-tanda baligh sehinggalah kepada syarat sah solat iaiatu mesti suci daripada hadas kecil dan besar. Bab aurat adalah salah satu contoh Islam menekankan. Aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain. Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut. Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan.

Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak. Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti yang dinyatakan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu, lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. (al-Nur:30). 

Masalah Buang Bayi Berpunca Daripada Seks Bebas. Apa Peranan Pendidikan Seks Dalam Menangani Hal Ini?

Dr. Mastura:
Saya melihat kita perlu merangka silibus pendidikan seks mengikut acuan kita. Sebabnya, saya melihat pengajaran sedia ada gagal memahamkan murid-murid tentang seks. Mereka hanya menghafal, sedangkan fahamnya tidak. Sebab itu, apabila remaja terjebak dalam seks luar nikah, kita selalu kata mereka kurang didikan agama. Betul, ada sebahagian mereka begitu. Namun, saya nampak mereka ini bukan kurang didikan agama tetapi sistem ilmu kita ada kelemahan. Yang selalu kita tekankan adalah ingat, faham tetapi tidak sampai ke tahap mempraktikkan. Contohnya, murid-murid boleh dibawa melawat rumah orang tua-tua dalam kita mengajar tentang 16 nilai murni dalam pendidikan moral.

Nilai-nilai itu antaranya adalah taat kepada ibu bapa, berbakti kepada orang tua dan baik hati. Sayangnya, semua itu tidak boleh dibincangkan daripada sudut teori semata-mata. Dengan membawa pelajar ke rumah orang tua-tua, mereka dapat melihat sendiri bagaimana boleh menghormati dan berbakti kepada golongan itu. Demikian juga untuk memberi pendidikan tentang gejala buang bayi. Adalah lebih berkesan jika murid-murid dibawah melawat Rumah Perlindungan supaya mereka dapat melihat dan merasai kesan negatif perbuatan tersebut.

Lebih penting lagi dalam hal ini, untuk kita kembali kepada pokok permasalahan iaitu pergaulan bebas yang membawa kepada perlakuan zina. Pada masa yang sama, faktor-faktor pendorong berlakunya gejalan sosial dan maksiat perlu kita sekat.

Begitulah menurut Dr. Mastura, sejauh mana luasnya dan sempitnya pendidikan seks daripada ibu bapa kepada anak-anak adalah bergantung kepada kesediaan dan keterbukaan minda ibu bapa dan juga penerimaan anak. Ibu bapa lebih tahu di tahap mana penerimaan serta pemahaman anak masing-masing serta kesediaan anak masing-masing kan? Jika sudah mula bertanya, selidik dan teliti dulu apakah yang bersesuaian dengan mereka.

Sebagai permulaan, ianya bukanlah sesuatu yang mudah bagi ibu bapa terutama ibu bapa yang pertama kali bergelar ibu ataupun bergelar bapa. Ibu hendak menerangkan kepada anak lelaki perlu menyusun kata-kata yang sebaiknya, bapa hendak menerangkan kepada anak perempuan perlu menyusun kata-kata yang sebaiknya. Jika ada ketidakselesaan di situ, "why not", bapa kepada anak lelaki, ibu kepada anak perempuan yer tak?

Sumber dari Google

Nak mula dari mana? Dari apa yang mungkin bermain di fikiran mereka atau yang biasa mereka lihat setiap hari. Mungkin langkah pertama, terangkan kepada anak-anak kita, apakah perbezaannya di antara lelaki dan juga perempuan. Mulakan dari segi sikap lelaki dan juga sikap perempuan. Perbezaan yang ada di antara lelaki dan perempuan, misalnya, perempuan itu mudah menangis, lelaki pula kena kuat dan kalau boleh jangan menangis seperti perempuan di khalayak ramai. Perkara yang ringkas-ringkas...

Mungkin langkah kedua, terangkan kepada anak-anak kita, jika lelaki anggota sulitnya begini, perempuan begitu...Tak salah pun nak bagi nama supaya mereka dapat membezakan... Contohnya, lelaki punyai "bird", perempuan "bees"... Nama yang semengah sikit lah kannn? Takkan nak gunakan bahasa mencarut pula... Bagi mereka kenal perbezaan itu... Persoalan begini biasanya akan timbul bila mana, mereka melihat anggota sulit adik perempuan mereka yang baru lahir berlainan dengan mereka? (bagi anak lelaki)... Disebabkan perasaan ingin tahu, pasti mereka akan bertanya kan? Lebih-lebih lagi bila dah keletah bertutur....

Selepas itu...mungkin "up" lagi...Mereka akan mula bertanya, jika mereka melihat kita ni berbadan dua... Macam mana adik boleh duduk dalam perut Mommy? Muahahaha, masa ni sila susun ayat yang bersesuaian dengan pemahaman dan ayat yang baik-baik sahaja yer...Bukan gunakan ayat-ayat kasar atau ayat-ayat carut yang biasa digunakan oleh orang dewasa... Ihikss...Nak ajar anak oiiii... Jangan sok sok anak pun menyebut perkataan yang kurang senang didengar oleh halwa telinga sendiri... Masa tu jangan nak marah sesiapa, sila renung diri sendiri balik kannn? Apa yang kita ajar... Yer yer, bukan mudah... Tapi nak tak nak, anak tu tetap akan bertanya dan dia berhak untuk faham... dia berhak untuk tahu... Tak cukup dengan itu...sila bersedia ok? Selepas soalan tentang kedudukan adik dalam perut tu.... Habis tu? Nanti adik nak keluar ikut mana? Jeng jeng jeng... Beritahu yang jujur, beritahu tentang apa yang dialami oleh ibu hamil dan apa yang dialami sewaktu seseorang ibu melahirkan..Dengan? Dengan cara susunan ayat yang bersesuaian....

Bila anak dah keletah bertanya, anak dah boleh mula mentafsir sesuatu tindakan kepada persoalan... Ibu dan bapa juga memainkan peranan penting oiiii... Kena belajar "cover-cover" sikit dari anak kalau nak lakukan apa-apa yang intim di hadapan mata anak... Anak-anak kalau dah keletah, tetau jer lah... Takut-takut apa yang dia perhatikan dia tercerita tanpa sengaja dan niat pada orang luar pula yer tak? Kan tak manis tu? Bukan kuno, bukan dengki tapi hal-hal intim suami isteri ni biar simpan dalam kelambu jer lah dan jangan sampai terlepas ke orang luar... "Open" tu memang lah "open" tapi kita ni ada acuannya ada budayanya ada batasannya...Ada perkara kita perlu jaga juga yer tak?

Setakat ini belum sampai ke tahap atau fasa anak mula bertanya tentang perbezaan jantina ataupun seks ini, ini sekadar pembacaan serta panduan di masa akan datang...Akan datang, mungkin cerita yang lebih terperinci tentang bagaimana Farah berhadapan dengan Ash dengan pendidikan tentang seks dan juga perbezaan di antara lelaki dan juga perempuan ni... Hua hua hua.... Dah lalui baru syok cerita melalui pengalaman sendiri yer tak? 

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !