Nasihat Kepada Ibu Yang Sayangkan Anak (Lelaki) Mereka...

Farah Waheda Wahid
5

Siapa yang tak sayang anak oiiii??? Cuma orang yang tak ada perasaan dan batu hatinya sahaja yang tidak menyayangi anak-anak masing-masing. Orang yang tak ada perasaan ni boleh jadi kerana tekanan mental, tekanan perasaan dan juga mungkin kerana gangguan persekitaran. Betul tak? Contohnya kanak-kanak yang dibuang, kanak-kanak yang didera tanpa perikemanusiaan. 

Yang bergelar ibu, pasti mengakui bahawa tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa perasaan seorang ibu terhadap anaknya. Namun, kadangkala, perasaan yang terlampau sayang akan membawa kita ke arah terlalu memanjakan anak, lantas membuatkan kita membesarkan mereka di dalam keadaan yang salah. Mohon dijauhkan. In Shaa Allah...Amin...

Sedikit perkongsian serta peringatan kepada diri sendiri juga dari sumber di SINI, ada beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian dan bertegas dengan hati sendiri di dalam membesarkan anak-anak. 

Ajarkan Dia Mengekspresi Perasaan 
Anak anda mungkin selalu menangis kerana marah atau ketakutan. Jelaskan kepadanya bahawa perasaan-perasaan itu adalah satu cetusan dan beritahunya apa yang perlu dibuat. Bincangkan juga mengenai perasaan anda dengannya. Apabila dia membesar, dia akan tahu perbezaan di antara marah, kekecewaan, kesedihan dan kekeliruan. Dan dia juga akan tahu bagaimana untuk mengendalikan emosinya, serta 'melepaskannya' dengan cara yang betul.

Ajarkan Dia Membersihkan Diri Sendiri, Memasak, Membasuh Baju Dan Menggosok Bajunya Sendiri
Walau apa-apa pun yang akan terjadi pada satu masa nanti, pada masa itu, pasti dia akan rasa sangat bertuah kerana anda melatih dia supaya berdikari sejak dari waktu kecil lagi. 

Bacakan Kepadanya Dan Membaca Dengannya
Benar, kanak-kanak akan menjadi seorang pecinta buku apabila duduk di riba anda, sambil melihat anda membaca. Beritahunya apakah buku yang anda suka baca dan watak-watak kegemaran anda. Jelaskan kenapa pentingnya untuk membaca. Bacalah buku bersama. Amalkan membaca Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah semasa menemani anak melakukan aktiviti ini. Kemudian berbincanglah dengannya, merungkai plot dan isi bersama, dan lukis gambar bahagian yang dia paling suka pada cerita tersebut. Yang paling penting, jelaskan pengajaran berguna yang harus dia teladani. 

Yakinkan Dia Untuk Mencapai Perkara Yang Hebat
Bijak, berani, kuat, berbakat, jujur. Ceritakan kepadanya tokoh-tokoh yang hebat; penulis, pengembara, santis, para ulama, pemimpin dan sebagainya. Ceritakan kepada dia bagaimana mereka ini hidup, apa yang mereka buat dan apa yang mereka telah berjaya capai. Dan bagaimana kecantikan dalaman di dalam diri seseorang adalah jauh lebih penting daripada apa yang ditonjolkan pada luaran.

Jadi Contoh Kepadanya
Jadilah "superhero" kepada anak kita, jadilah contoh ikutan. Perkara ini berlaku tanpa kita perlu mengeluarkan sepatah ayat pun. Walaubagaimanapun, anda harus tetap menunjukkan kepada anak kecil anda betapa cantik, bijaksana dan jujurnya diri anda. Bagi mereka, anda adalah manusia paling sempurna, paling ideal...dan yang akan menjadi kayu ukur kepada insan-insan lain yang akan datang ke dalam kehidupan mereka.

Ajarkan Perilaku Yang Baik
Ajarkan anak kita dengan ucapan 'tolong' dan 'terima kasih'. Ajarkan juga kepadanya agar tidak lokek untuk menawarkan pertolongan, menjadi pemurah dan suka berbuat kebaikan. In Shaa Allah, perkara ini walaupun kecil, akan memberikan sumbangan yang besar kepada dunia. Pasti ganjaran pahala besar menanti anda.

Letakkan Allah Dalam Hatinya Sebagai Tempat Bergantung
Anak-anak kita pasti akan mengalami ketakutan dan kepenatan, kesakitan dan kesedihan, berkali-kali dalam sepanjang kehidupannya. Ada kalanya, di saat dia memerlukan anda, anda tidak mampu untuk berada dekat di sisinya. Oleh itu, tanamkan tempat bergantungan dalam hatinya, iaitu Allah. Tuhan sekalian alam. Ini akan membuatkan hidupnya terus berjalan, walaupun semangatnya itu telah lemah. Apabila mereka telah faham ini, mereka tidak akan sesekali rasa keseorangan. Dia ada Allah sebagai tempat bergantung dan meletakkan keyakinan.

Hasbunallah Wa Ni'mal Wakil, Ni'mal Maula Wa Ni'man Nashir. "Cukuplah Allah menjadi Penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.

Ajarkan Mereka Untuk Berlembut
Semaikan rasa kasih sayang dan perasaan berlembut mereka dengan kanak-kanak yang lebih kecil, dengan haiwan, dengan bunga dan dengan perasaan orang lain. Semaikan perasaan berkasih sayang sesama makhluk. Semoga anak kita dibesarkan dalam perasaan penuh kasih dalam dirinya.

Tunjukkan Minat Kepada Hobi Mereka
Ibu bapa yang baik akan mengambil tahu tentang pasukan bola kegemarannya, belajar lagu kegemarannya. Hadirkan diri anda secara aktif di dalam hidupnya. Bukannya hanya memerhati gelagat anak kita dari jauh. Hati anak akan lebih terkesan apabila dia mengetahui bahawa ibu bapanya menyokong minatnya.

Buat Aktiviti Di Luar Rumah Bersama
Tutup TV, simpan konsol "video game" dan tinggalkan telefon bimbit anda. Keluarlah bersiar-siar dengan anak anda dan biarkan ke mana sahaja dia mahu pergi. Perhatikan reaksi mereka dan berkomunikasilah dengan mereka. Nikmati saat tersebut. Pasti anda merasakan kebahagiaan apabila dapat mengisi masa denfan anak dan melihat mereka membesar di depan mata.

Sentiasa Menjadi "Rumah" Kepadanya
Semasa anak kecil kita sedang belajar berjalan, secara tidak stabil dia hanya akan melangkah pergi beberapa langkah dari anda - dan kemudian dia akan kembali. Kemudian apabila dia sudah sedikit besar, akan mula berjalan lagi sedikit jauh di sekitar rumah, tetapi dia akan sentiasa pulang setiap masa. Dia akan tertunggu-tunggu senyuman bangga anda bila dia menunjukkan lukisan pertamanya pada anda.

Apabila dia belajar membaca, dia akan membaca buku yang sama kuat-kuat sebanyak 20 kali. Kerana dia tahu ibunya akan sentiasa mendengarnya bila dia buat begitu. Bila dia dalam pertandingan, dia akan mencari-cari wajah anda di sebalik penonton yang hadir. Bila dia sakit, dia pasti akan telefon mengadu kepada anda. Dan walauoun dia telah besar panjang, kuat dan boleh menjaga diri sendiri, dia mungkin masih mahu menangis di pangkuan anda - dia tidak mampu menyorokkan perasaannya darioada anda, ibunya.

Walaupun dia sudah mempunyai rumah, keluarga sendiri dan jawatan, anda adalah sentiasa permaisuri di hatinya. Padanya, anda adalah segala-galanya.

Semoga kita semua dikurniakan anak yang soleh dan dapat membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang dan barakah. "Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali daribtiga perkara, sedekah, jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa kepadanya."- (Hadis Riwayat Muslim)

Post a Comment

5Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !