Pelan Tindakan Kecemasan Jika ANAK TERTELAN DUIT SYILING

Farah Waheda Wahid
0
PELAN TINDAKAN KECEMASAN JIKA ANAK TERTELAN DUIT SYILING

Ada bukan tak ada… Pernah berlaku bukan tak pernah berlaku… Tahun 2015, Sinar Online ada melaporkan kejadian kanak-kanak berusia 6 tahun tertelan duit syiling 20 sen melalui pautan di SINI. Kanak-kanak tersebut dilaporkan terpaksa menanggung kesakitan di perut selepas tertelan duit syiling. Jangan ingat bila tertelan duit syiling tu, duit syiling terus masuk ke dalam perut dan kemudian akan dicernakan bersama-sama dengan najis macam tu saja ya? Tolong buang fikiran macam tu please? Ada yang memang akan dicernakan dan ada yang tidak. Ini sebenarnya pelan tindakan kecemasan jika anak tertelan duit syiling ataupun sebarang objek yang perlu dilakukan oleh ibu bapa. Jika tak pernah berlaku pada anda pun, sekurang-kurangnya bacalah untuk pengetahuan umum supaya ada ilmu untuk masa tak terduga. Kalau boleh kita minta dijauhkanlah daripada kejadian seumpama ini kan?

Oh ya... Tahun 2016 juga ada berlaku kisah kanak-kanak tertelan syiling. Boleh baca kisah sepenuhnya melalui pautan di SINI jika apa yang Kak Fa paparkan di dalam entri ini kurang jelas ya.






Mengapa Kanak-Kanak?

Selaras dengan perkembangan mental dan kebolehan fizikal kanak-kanak, waktu usia satu tahun ke atas adalah masa kanak-kanak mula merangkak. Rasa ingin tahu dan ingin mencuba segalanya menambahkan lagi risiko berlakunya kejadian seumpama ini di kalangan kanak-kaak. Dalam keadaan terlentang sebelum ini, dunia mereka hanyalah memandang ke atas. Apabila mula melihat apa yang berada di tanah atau di lantai, dengan perkembangan koordinasi tangan dan jari yang telah mula pandai untuk mengutip, terdapat satu tarikan untuk memasukkan apa yang ada pada tangan mereka ke dalam mulut.

Dan! Salah satu objek yang selalu berada di lantai, mudah dipegang dan menarik untuk dibuat bermain ialah DUIT SYILING. Bentuknya yang bulat dan kilauan warna peraknya menjadikan objek ini suatu tarikan kepada mata kanak-kanak.

Bagaimana Mengesannya?

Kejadian tercekit atau tertelan duit syiling ini sebenarnya bukanlah perkara yang asing dalam praktis otorinolaringologi. Seringkali ibu bapa dapat memberitahu yang anak mereka telah tertelan objek ini. Selalunya kanak-kanak ini berada dalam seliaan penjaga kerana usianya yang masih kecil. Apabila syiling yang dibuat bermain didapati hilang, kanak-kanak tersebut akan menunjukkan tanda-tanda tercekit seperti rasa kurang selesa pada tekak, mengeluarkan semula makanan sejurus selepas menelannya atau air liur yang meleleh keluar dari mulut tanpa mampu ditelan. Jika terdapat tanda sebegini, penjaga sepatutnya mula rasa bimbang.

Sungguhpun begitu, ada kes yang tidak kurang bilangannya yang mana kanak-kanak ini tidak menunjukkan tanda-tanda khusus. Ibu bapa hanya menganggap ada sesuatu yang tidak kena pada anak-anak mereka. Tidak perlu tunggu lagi kerana suatu yang berbahaya mungkin sedang berlaku di dalam tekak kanak-kanak tersebut.

Apa Yang Seharusnya Dilakukan?

Membawa kanak-kanak berjumpa doktor dengan cepat ialah langkah yang paling tepat. Cubaan untuk mengeluarkan sendiri objek oleh mereka yang kurang mahir mungkin akan membawa kepada komplikasi yang lebih serius. Apabila kanak-kanak berjumpa dengan doktor, mereka akan dinilai keadaannya, sama ada memerlukan pengeluaran syiling tersebut dengan segera? boleh ditunggu? atau ada keadaan di mana ia tidak perlu dikeluarkan langsung.

Saluran pernafasan berada sangat dekat dengan saluran makanan. Ia hanya terpisah dengan struktur yang nipis sahaja. Antara keduanya, saluran makanan atau esofagus ialah tempat syiling ini lebih kerap ditemui. Suatu yang amat membimbangkan sekiranya syiling ini masuk ke dalam saluran pernafasan, risiko untuk lemas akibat tertutupnya saluran pernafasan amat tinggi. Pada permulaan esofagus, terdapat suatu struktur berbentuk injap iaitu otot cricopharyngeus. Otot ini mengawal pembukaan esofagus sewaktu proses menelan. Ia adalah salah satu daripada beberapa penyempitan yang ada pada esofagus. Biasanya, syiling akan terlekat pada kawasan ini.

Apa Yang Akan Dilakukan Oleh Doktor?

Kanak-kanak tersebut akan dinilai secara klinikal. Syiling tersebut haruslah dipastikan bukan berada dalam saluran pernafasan kerana jika di situ lokasinya, maka tiada persoalan lagi melainkan segera dikejarkan ke bilik pembedahan untuk memastikan ruang untuk pernafasan tidak terhalang. Kelewatan mengeluarkannya juga akan mengakibatkan syiling tersebut akan termasuk lebih jauh ke dalam struktur pernafasan yang lebih sempit dan menyukarkan lagi pengeluarannya.

Jika syiling tersebut berada di dalam saluran makanan, ia masih juga dianggap kecemasan tetapi kurang sedikit berbanding saluran pernafasan.

Syiling, walaupun saiznya kecil, bagi seorang kanak-kanak ia sudah cukup untuk menjadikan mereka tidak selesa akibat tekanan daripada objek itu sendiri, atau pun akibat tertutupnya saluran makanan yang menyebabkan segala yang disuap keluar semula. Imbasan sinar-X leher dan dada akan menunjukkan dengan jelas lokasi syiling tersebut. Ini kerana struktur syiling yang diperbuat daripada timah itu akan menahan sinar-x daripada menembuasinya lantas memberikan imej putih di atas filem.

Setelah menentukan kehadiran dan lokasinya, biasanya kanak-kanak tersebut akan dibawa ke bilik pembedahan. Di sana, prosedur endoskopi yang dikenali sebagai ‘direct laryngoscopy’ dan ‘esophagoscopy’ akan dilakukan. Melalui cara ini, syiling tersebut akan dapat dilihat dengan jelas dan dikeluarkan dengan kaedah yang selamat.

Dalam keadaan syiling atau apa jua benda asing yang telah terlepas jauh ke dalam saluran makanan, jika tidak timbul sebarang masalah, biasanya ia akan keluar dengan sendiri selang beberapa hari melalui proses pembuangan air besar. Walau bagaimanapun, jika ia masih tidak keluar juga, maka intervensi lain akan dilakukan kerana jika dibiarkan, ia boleh menjadi punca jangkitan kuman dan keradangan tisu di tempat ia tersadai.

Namun, perkara yang lebih penting dan mudah untuk dilakukan ialah aspek pencegahan. Elakkan kanak-kanak kecil bermain dengan syiling atau sebarang benda yang boleh menyebabkan mereka tercekik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Bagi anak-anak yang besar sedikit, nasihati mereka supaya jangan memasukkan sesuatu yang tidak sepatutnya ke dalam mulut, terutamanya sewaktu bermain. Nilai kesihatan apatah lagi nyawa anak-anak yang kita sayangi seharusnya lebih besar daripada 10 sen yang ditelan itu.

Rujukan & Kredit  Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1005&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm#ixzz53ldQvw3g © Utusan Melayu (M) Bhd


*Bila anak sedang giat berekplorasi dan sudah mula merangkak, berjalan serta panjang akal, memang penat sedikit, tapi demi mengelakkan kejadian seumpama ini tidak berlaku, biarlah penat dari menanggung ya tak? Walau dah berusia 5 tahun ke atas dan dianggap sudah cukup besar untuk bermain sendiri, namun tetap juga perlu dipantau dan dielakkan dari cubaan-cubaan menelan objek yang tidak sepatutnya. Kids… You will never know akal diaorang apa yang muncul…

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !