Tips Buat Ibu Bapa Sebelum Anak Memulakan Sesi Persekolahan Darjah 1

Farah Waheda Wahid
0
TIPS BUAT IBU BAPA SEBELUM ANAK MEMULAKAN SESI PERSEKOLAHAN DARJAH 1
Kredit: Gambar dari Sumber dari Google
Sesi persekolahan baru datang lagi! Yang sebelum ni duduk rumah pengasuh atau nurseri akan masuk tadika. Yang sebelum ni tadika akan tadika kembali (anak Kak Fa lah tu). Yang sebelum ni tadika 6 tahun akan masuk Darjah 1. Sibuk ibu bapa semuanya… Smile menguruskan hal persekolahan anak-anak masing-masing. Macam-macam perasaan ada kan? Entri Kak Fa kali ini ada sedikit tips buat ibu bapa sebelum anak memulakan sesi persekolahan Darjah 1. Bacalah dulu, mana tau kalau-kalau bermanfaat untuk anda (yang berkaitan) semua kan?

Tips ni bukan dari Kak Fa secara pengakuan jujur ikhlas, tetapi tips ni adalah dari laman Facebook Cikgu Mohd Fadli Salleh yang telah diolah semula oleh sumber di SINI yang mana Kak Fa rasa Kak Fa patut ambil tahu dan juga Kak Fa patut mulakan langkah yang sepatutnya yang telah disarankan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh tersebut.

Persiapan Yang Perlu Ibu Bapa Lakukan Jika Anak Bakal Memasuki Sesi Persekolahan Darjah 1


Pastikan Anak Kenal Huruf Dan Boleh Membaca Dan Mengeja Walau Sedikit. Operasi Asas Nombor, Tambah Dan Tolak Bawah 10 Sudah Dikuasai.

Bukan setakat kerja cikgu tadika jer! Kerja ibu dan juga bapa untuk memastikan anak-anak sudah kenal huruf dan boleh membaca dan mengeja walaupun sedikit. Termasuklah operasi asas nombor iaitu seperti tambah dan tolak di bawah angka 10. Silibus KSSR Semakan 2017 sangatlah tinggi arasnya. Murid yang masuk dengan “zero” pasti akan ketinggalan jauh ke belakang. Silap-silap akan dimasukkan ke Kelas Pemulihan.

Bahasa Malaysia Tahun 1, silibus baru ini murid dah kena pandai bina ayat berdasarkan gambar menjelang pertengahan tahun.

Matematik pula dah diperkenalkan asas bundar, asas pecahan malah pengurusan data. Ini semua topik Tahun 4 kalau ikut silibus lama, KBSR. KSSR ni lain macam dia punya pergi.

Bayangkanlah kalau anak kita masuk dengan “zero”, pasti akan ketinggalan di belakang, sebabnya cikgu tak akan tunggu anak kita seorang.

Bimbing Anak Di Rumah. Ini Sangat Penting. Berhenti Merungut Kata Silibus Tinggi  Dan Soalan Terlampau KBAT.

Anak-anak walaupun ada asas membaca dan tahu mengenai operasi asas nombor pasti ketinggalan juga jika tiada bimbingan lanjut di rumah. Silibus berat oiii, masa singkat. Namun, sebenarnya anak-anak kita boleh kuasai. Majoriti murid mampu ikut dengan baik. Kebanyakan murid yang tertinggal adalah murid-murid yang tidak diberikan bimbingan lanjut di rumah. Nak anak berjaya? Bantu mereka. Jangan harap ilmu di sekolah dan guru semata-mata.

Ajar Anak Kenali Wang. Ajar Anak Guna Wang. Ajar Anak Tunggu Terima Baki. Ajar Anak Jangan Bagi Wang Jika Murid Lain Minta. Ajar Anak Maklumkan Pada Cikgu Kalau Murid Lain Minta Wang Dari Mereka.

Semua asas ini perlu diajar dari rumah lagi. Cikgu tak mampu nak ajar beratus murid cara guna wang dan cara jaga duit poket mereka.

Fakta:
Ramai murid Tahun 1 tidak tahu menggunakan wang.

Ajar Anak Guna Tandas Awam / Sekolah. Jangan Buat Macam Di Rumah. Ajar Anak Minta Izin Untuk Ke Tandas.

Fakta:
Ada murid buka seluar dalam kelas dan berlari bogel menuju ke tandas tanpa rasa malu. Ada pula buka seluar di luar pintu tandas dan seluar basah kuyup kena air kat lantai dan kotor dipijak kawan yang lalu lalang.

Fakta:
Kebanyakan murid yang kencing dan berak dalam seluar kerana takut untuk minta izin sebab dimomokkan oleh ibu bapa mereka cikgu garang! Baca yang seterusnya di bawah:

Jangan Takutkan Murid Dengan Beritahu Mereka Cikgu Garang. JANGAN!

Ramai ibu bapa takutkan anak mereka dengan ayat, “Abang jangan nakal-nakal. Nanti cikgu rotan.”. Akibatnya murid takut nak bersuara.

Ajar Anak Berkongsi Dan Menjaga Barang Mereka Sendiri

Bekal makanan anak tu buatlah lebih. Suruh anak berkongsi dengan murid lain. Ini amalan mulia. Smile. Begitu juga dengan pensel, pemadam dan alat tulis. Berkongsi tetapi sila pastikan mereka ambil dan simpan semula.

Fakta:
Ramai murid tidak pandai menjaga harta sendiri. Hasilnya, di kantin lambakan botol air dan bekal makanan yang murid tinggal. Dalam kelas, lambakan alat tulis yang jatuh tidak dikutip, buku ditinggalkan di bawah meja.

Jangan Bagi Murid Pakai Kasut Bertali Jika Mereka Tak Pandai Ikat. Ajar Juga Anak Buka Dan Pasang Tali Pinggang.

Ramai murid Tahun 1 pakai tali pinggang buat kali pertama bila menjejakkan kaki ke sekolah. Mak ayah pakaikan di rumah.

Fakta:
Ramai murid terkencing dan terberak dalam seluar gara-gara tak pandai buka tali pinggang.

Ajar Anak Susun Jadual Ikut Hari. Jangan Bawa Semua Buku. Bawa Buku Mengikut Jadual Sahaja. Baru Beg Tak Berat.

Ajar ayah dia sekali susun jadual anak. Ini pun penting!

Fakta:
Biasa murid bawa buku ikut jadual dan beg tidak berat. Satu hari semua buku murid itu bawa. Rupanya ibu dia “out station” dan ayah tukang susun buku. Semua buku ayah dia sumbat. Banana punya ayah. Kesian kat anak.

Jika Ada Group What’s App Kelas, Jangan What’s App Tengah-Tengah Malam Buta Dan Mengharap Balasan Segera. Cikgu Bukan Kedai 7-Eleven Yang Setiap Masa Tunggu Nak Reply Mesej Anda.

Hormati group What’s App tersebut. Jangan post status politik, jangan spam dengan nasihat, kata-kata hikmah, perkongsian cerita menarik atau apa jua. Cukuplah group itu untuk maklumat anak dan kelas. Nak sangat post isu semasa, hadis, kata nasihat, mutiara kata, mutiara naga, kau buka group What’s App lain dan add semua parent. Post lah semua benda sesuka hati kamu. Paling penting, jangan promote barang anda berniaga dalam group tu. Menyampah dan mengganggu tahu tak? – kata Cikgu Mohd Fadli. Jadi sila ambil serius ya?

Usah Lagi Diratib Tentang Sukarnya Silibus Baru Dan Payahnya Soalan KBAT


BERHENTI MERUNGUT!

Sebaliknya bertindaklah. Merungut tak mampu mengubah apa-apa. Orang lain yang bertindak anak mereka dah maju ke depan.

*Tiba-tiba Kak Fa terasa macam semakin banyak tugasan Kak Fa demi nak mempersiapkan anak Kak Fa untuk Tahun 1 walaupun ada masa lagi lebih kurang 2 tahun. Surprised smile 2 tahun tu tak lama… Sekejap jer tempoh masa setahun sekarang ni berlaku kan? Nerd smile

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !