Cara Ajar Anak SOLAT Ikut Peringkat Usia

Farah Waheda Wahid
0
CARA AJAR ANAK SOLAT IKUT PERINGKAT USIA

Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim daripada Amir bin Syuaib, Rasulullah SAW bersabda:
 
Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat apabila mereka sudah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang meninggalkannya apabila umur mereka sudah sampai 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.
 
Pernah Farah kongsikan tentang cara Wardina Safiyah mendidik anaknya bersolat di dalam entri Anak Ketam Tidak Boleh Terus Diajar Berjalan... dan juga Resipi Ustaz Don Didik Anak-Anak serta Tips Latih Anak Rajin Solat. Kali ini, Farah ingin berkongsi pula tentang Cara Ajar Anak SOLAT Ikut Peringkat Usia dengan cara yang mudah yang mungkin boleh dipraktikkan oleh semua ibu bapa Muslim di luar sana.
 
Di dalam konteks pendidikan awal anak-anak, tanggungjawab untuk mendidik anak untuk bersolat adalah satu amanah yang sangat besar dan berat. Mendidik dan mentarbiyyah anak-anak untuk solat tidaklah semudah ABC atau 123. Tanggungjawab yang besar ini datang dengan pelbagai ujian dan ini memerlukan ibu bapa yang bijak. Kaedah untuk mendidik anak kecil bersolat harus mempunyai perancangan dan dilaksanakan secara bertahap. Bagaimanakah caranya?
 

1. Contoh Dari Ibu Bapa

Ibu bapa adalah yang terdekat dengan anak sejak dilahirkan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita adalah model terbaik kepada anak-anak untuk memulakan sesuatu perkara. Ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak akan mengikut jejak langkah yang sama. #selfreminder
 
Lakukan di tempat terbuka yang mana anak dapat memerhati perbuatan kedua-dua ibu bapa. Jika dari kecil lagi mereka melihat ibu bapa mereka sentiasa melakukan solat, In Shaa Allah, jiwa anak kecil akan mudah tertarik dan menuju ke arah melakukan ketaatan bersolat yang menjadi tiang agama. Ayah yang selalu ke masjid, ibu yang terus bersiap solat ketika mendengar azan dan mendedahkan kepada anak-anak tentang solat berjemaah adalah antara contoh terbaik buat anak-anak. Ini adalah salah satu cara didikan berkesan yang dinyakatan oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab agungnya. Tarbiyatul Aulad tentang peri pentingnya kita menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.
 

2. Peringkat Usia 0 - 2 Tahun - Wujudkan Suasana Yang Solehah (Biah Solehah)

Walaupun anak masih kecil, tidak mengerti dan tidak faham, namun suasana yang baik dan solehah akan menjadikannya biasa. Dia biasa melihat ibu dan bapanya solat di awal waktu, solat berjemaah, tahu tentang azan dan mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran. Berkata-katalah dan bercerita dengan anak seperti "Tunggu sebelah Mommy ya, Mommy mahu solat". atau "Terima kasih Firash sebab tunggu Mommy solat".
 

3. Peringkat Usia 2 - 3 Tahun - Ajar Anak Solat

Jangan jemu untuk ajar anak solat. Biar mereka biasa dengan ajakkan. Walaupun merekah hanya mendengar dan tidak mengikuti, teruskan menyebut setiap kali kita hendak solat. "Jom ikut Mommy solat!".
 

4. Peringkat Usia 4 - 6 Tahun - Mengapa Kita Solat

Sudah tiba masanya untuk ibu bapa bercerita tentang kepentingan solat. Penerangan berbentuk cerita dapat memberikan gambaran yang jelas kepada anak-anak.
 
Contohnya:
 
Mommy: Allah suka kalau kita solat.
 
Firash: Kenapa? (Dalam umur begini anak suka bertanya kenapa, mengapa dan bagaimana)
 
Mommy: Kalau kita solat, nanti Allah sayang. Mommy sayang. Ba Bah sayang. Teacher sayang. Nek Ma sayang. Atuk sayang.
 
Pada tahap ini juga, dedahkan anak-anak secara kerap tentang masjid. Ajak mereka ke masjid. Perkenalkan tentang adab-adab solat jemaah, hubungan sosial dengan jemaah lain dan sebagainya. Pada umur begini juga ibu bapa sudah boleh menghantar mereka ke tadika Islam yang mengajar mereka tentang solat agar mereka lebih faham dan seronok untuk solat.
 

5. Peringkat Usia 7 - 9 Tahun - Penekanan Dan Tanggungjawab

3 tahun yang kritikal. Ini adalah tahun-tahun pengukuhan bagi asas solat. Kita sudah menunjukkan contoh, ajakan dan pemahaman sejak lahir. Waktu ini, anak seharusnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan ketika azan, cara mengambil wudhu', pergerakan dan bacaan dalam solat.
 
Walaupun tidak lancar dan tidak cekap, sekurang-kurangnya mereka sudah ada asas. Mencapai umur 9 tahun, ibu bapa sudah mula sedikit tegas dan selalu mengingatkan.
 

6. Peringkat Usia 10 Tahun Ke Atas - Denda Dan Hukuman

Dalam hadith tentang solat, Nabi SAW membenarkan untuk kita memukul anak yang ingkar solat ketika dia berumur 10 tahun. Tetapi sebelum kita memukulnya, adakah kita telah memberikan pemahaman serta contoh terbaik buat mereka? Hanya kita sebagai ibu bapa yang mengetahuinya. Dr. Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku Tarbiyatul Aulad menyebut bahawa memukul adalah jalan terakhir setelah ibu bapa putus harap. Tidak semudah itu untuk ibu bapa menjatuhkan hukuman dan memukul anak. Semoga kita menjadi pemimpin yang adil dalam menentukan hukuman dan denda terhadap anak.
 

7. Doa

Selalu-selalulah amalkan doa Nabi Ibrahim.
 
Moga-moga kita semua sebagai ibu bapa dapat melalui proses ini dengan baik dan lancar. In Shaa Allah, akan cuba lakukan yang terbaik untuk Iman Firash supaya dia jadikan solat itu sebagai rutin kehidupan dan tidak lupa untuk solat malah suka untuk solat. Amin.
 

Post a Comment

0Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !