Cara PENYIMPANAN UBAT KANAK-KANAK

Farah Waheda Wahid
1
CARA PENYIMPANAN UBAT KANAK-KANAK

Beberapa hujung minggu yang lalu, sibuk mengemas ubat-ubat Iman Firash di dalam peti ais. Mana-mana yang dah tamat tempoh atau luput tarikh semua dikeluarkan dan diberikan kepada tong sampah untuk makan. Dah luput… Takkanlah nak simpan pula kan? Buat semak dan penuh peti ais jer… Takut-takut nanti kalau tak perasan, terberi pula pada anak. Dah jadi satu hal lain pula… Sebelum apa-apa, eloklah Farah bawa-bawa rajinkan diri untuk kemaskini ubat-ubatan yang ada di dalam peti ais tersebut. Selama kini, memang segala jenis ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak klinik, Farah terus simpan dalam peti ais jer… Tiba-tiba terfikir, #ehhh betul ke tidak ni? Cara aku simpan ubat-ubatan anak aku ni? Ke ada yang tak betulnya? Bukanlah poyo… soalan macam tu pun nak tanya kan? Tapi, sekadar ingin tahu jer…Manalah tahu kot-kot ada yang selama ni Farah tak tau ke? Hidup kita ni kan tak pernah berhenti dari belajar dan belajar…Setiap hari pasti ada ilmu baru yang boleh kita pelajari…

Dengan gigihnya meng- Google untuk mencari jawapan. Browse sana browse sini, akhirnya bertemu juga jawapan daripada laman web Doktor Budak melalui artikel yang disediakan oleh Puan Wong Yeng Pooi yang merupakan seorang ahli farmasi di pautan di SINI. Menurut artikel tersebut:

Kebanyakan ubat bagi kanak-kanak adalah dalam bentuk cecair. Penyimpanan ubat dengan cara betul adalah suatu perkara penting yang selalu dipandang remeh. Berikut adalah cara-cara penyimpanan ubat cecair minum yang sesuai:

Label

Baca label pada botol ubat dan ikut arahan penyimpanan yang disyorkan. Sesetengah ubat memerlukan cara penyimpanan yang khas dan ini selalunya tertulis pada label ubat.

Persekitaran

Simpan di tempat yang sejuk, kering dan dilindungi daripada cahaya matahari. Secara umumnya, semua ubat perlu disimpan di tempat yang tidak terdedah kepada suhu yang ekstrem dan kadar kelembapan yang tinggi. Kedua-dua faktor ini akan menyebabkan ubat hilang keberkesanannya serta boleh dicemari oleh mikroorganisma. Penyimpanan ubat di dalam kereta (sangat panas) atau dalam almari di tandas (sangat lembap) seperti yang selalu dipaparkan dalam televisyen adalah tidak digalakkan sama sekali.
 

Jenis Ubat Cecair

  • Ubat Cecair Dengan Pengawet

    Ubat cecair yang mengandungi pengawet boleh disimpan pada suhu bilik kecuali dinasihatkan lain pada labelnya. Ubatan cecair yang telah dibuka tidak seharusnya disimpan melebihi 3 bulan ataupun melampaui tarikh luputnya (bergantung tarikh yang mana sampai dulu). Ubatan yang belum dibuka boleh disimpan sehingga tarikh luput sekiranya disimpan tempat yang betul.

  • Ubat Cecair Tanpa Pengawet/Serbuk

    Bagi ubat cecair yang tidak mengandungi pengawet, adalah dinasihatkan untuk membaca nasihat pada label untuk tempoh penyimpanan. Jika tiada maklumat tempoh penyimpanan, jangan simpan lebih daripada 2 minggu. Ubat jenis ini seharusnya disimpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan keberkesanannya. Contoh ubat yang tidak mengandungi pengawet adalah ubat serbuk yang perlu rekonstitut sendiri (ditambah air sebelum guna) terutamanya antibiotik. Ubatan serbuk yang belum direkonstitut boleh disimpan pada suhu bilik dan masuk dalam peti sejuk selepas dibuka.

Warna Dan Bau Ubat

Perhatikan warna ubat sebelum guna. Jika ada perubahan pada warna atau bau, jangan guna walaupun ubat tersebut belum sampai tarikh luputnya.

Botol Ubat Dari Klinik

Botol ubatan cecair yang didapati daripada klinik selalunya tidak mempunyai arahan penstoran dan mengandungi ubatan cecair berpengawet. Oleh itu, ubat-ubat ini yang tidak mempunyai tarikh luput tidak seharusnya disimpan melebihi 3 bulan dari tarikh mendapat ubat tersebut.

Bekas Asal

Bekas penyimpanan ubat yang paling sesuai adalah bekas asalnya. Penukaran atau pemindahan ubat ke dalam bekas lain terutamanya bekas-bekas makanan atau bekas ubat lain adalah tidak digalakkan. Orang lain terutamanya kanak-kanak boleh tersilap dan sangka ubat tersebut adalah makanan lain. Ini menjadi lebih bahaya sekiranya anak-anak kecil tersilap minum. Sesetengah ubat juga memerlukan bekas penyimpanan khas untuk memastikan keberkesanannya terutamanya sesetengah antibiotik yang sensitif cahaya.
 

Lokasi

Lokasi tempat penyimpanan ubat seharusnya dijauhkan dari kanak-kanak. Tempat simpan ubat sebaiknya di paras yang tinggi dan tidak boleh dicapai serta jauh dari penglihatan anak-anak kecil.
 
Kesimpulannya, penyimpanan untuk semua jenis ubat seharusnya berdasarkan cadangan yang terdapat pada label ubat. Jangan sayang untuk membuang ubatan luput semata-mata kerana masih banyak tertinggal. Jauhi daripada capaian kanak-kanak demi keselamatan mereka. Jika ada keraguan, dapatkan kepastian dan nasihat daripada ahli farmasi berdekatan dengan anda.




Post a Comment

1Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !