TIPS Meningkatkan DAYA INGATAN Anak-Anak…

Farah Waheda Wahid
2
TIPS MENINGKATKAN DAYA INGATAN ANAK-ANAK...

Khusus untuk para ibu bapa yang tercari-cari kaedah ataupun tercari-cari bagaimana caranya untuk meningkatkan daya ingatan anak-anak masing-masing… Sukalah kiranya Farah untuk berkongsi sebuah artikel yang mungkin bermanfaat untuk anda semua. Ini bukan artikel dari orang yang tidak berpengalaman ya? Ini adalah perkongsian sebuat artikel yang telah disediakan oleh Pn. Jamilah Samian yang merupakan penulis buku COOL MUM SUPER DAD, COOL BOYS SUPER SONS, THE GROOVY GUIDE TO PARENTING GEN Y & Z and THE KINDNESS MIRACLE yang mana Pn. Jamilah Samian juga turut telah menghasilkan sebanyak 405 buah artikel keibubapaan.

Suasana pembelajaran yang menyeronokkan meningkatkan daya ingatan, sama ada untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Kita lebih mudah mengingati fakta jika ia diberi dalam suasana yang ceria dan merangsang minda. Inilah sebabnya seorang kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa dan guru yang berdedikasi mengajar dan menjadikan proses pembelajaran sesuatu aktiviti yang menyeronokkan, mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mencapai kecemerlangan dalam hidupnya.

Ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk menjadikan proses pembelajaran semakin seronok sekaligus meningkatkan daya ingatan anak anda:

Pecahkan Fakta

Seboleh-bolehnya, pecahkan fakta yang perlu dihafal menjadi beberapa bahagian yang lebih kecil. Umpamanya, kanak-kanak tidak selesa jika mereka disuruh menghafal pertunjukan drama kelas yang padat dengan dialog dalam masa kurang daripada dua minggu. Ini ibarat kita cuba memakan selonggok makanan sekaligus; mustahil bukan? Begitu juga kita tidak boleh mengharapkan seorang kanak-kanak untuk mengingati terlalu banyak fakta dalam masa yang terlalu singkat.
 
Pecahkan tugasan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil. Sepuluh baris dialog drama lebih mudah jika ianya dihafal sebaris demi sebaris. Bukan sahaja daya ingatan anak anda semakin tajam, keyakinannya juga meningkat, terutama jika anak anda menyedari bahawa tugasan ini agak sukar di peringkat awal, tetapi mampu dilakukan jika dibuat sedikit demi sedikit.
 

Gunakan Konsep Imej

Kebanyakan kita, termasuk kanak-kanak lebih mudah mengingati fakta dalam bentuk imej berbanding kosa kata. Itulah sebabnya kanak-kanak lebih mudah mengingati fakta yang dikaitkan dengan simbol atau ubah suaian imej. Rahsianya ialah untuk menyimpan maklumat penting dalam bentuk gambar. Contohnya, untuk membantu anak anda mengingati bahawa haiwan herbivor suka makan tumbuh-tumbuhan, anda boleh melukis gambar gigi yang sedang mengunyah daun di sebelah kosa kata haiwan itu. Atau cuba perkenalkan konsep Peta Minda, satu lagi kaedah yang menggunakan konsep imej.
 

Bercerita

Memang mudah untuk mengingati fakta yang diberikan dalam bentuk cerita kerana melalui cerita, semua fakta diatur dengan baik. Sebagai contoh, untuk mengingati kesemua sembilan planet dalam sistem solar dalam Bahasa Inggeris, kita boleh menyusunnya mengikut huruf pertama setiap planet itu sehingga menjadi ayat berbentuk cerita. Planet-planet dalam sistem solar dalam Bahasa Inggeris ialah: Mercury, Venus, Earth, Mars, Jupiter, Saturn, Uranus, Neptune dan Pluto. Dengan itu, susunannya berbunyi begini: Man-eating Violets Eat Meat Just So Ugly Nymphs Ponder.
 

Ajar Orang Lain

Daya ingatan bertambah kuat apabila sesuatu pelajaran itu diulang-ulang. Galakkan anak-anak anda yang lebih tua untuk meluangkan masa mengajar adik-adik yang lebih kecil. Contohnya, anak anda yang di dalam Darjah Tiga boleh mengajar adiknya yang baru masuk Darjah Satu. Anak yang baru masuk Darjah Satu boleh menunjuk ajar adiknya yang baru masuk tadika. Anak yang baru masuk tadika pula boleh cuba ‘membaca’ dengan adiknya yang baru mula bertatih.
 

Pilih Makanan Sihat

Makanan turut mempengaruhi daya ingatan manusia. Galakkan anak-anak anda memakan lebih banyak ikan dan sayur-sayuran. Kurangkan makanan segera. Diet yang mengandungi terlalu banyak gula dan karbohidrat juga kurang sihat dan boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka panjang.
 

Lain Anak, Lain Caranya

Kesimpulannya, ibu bapa harus memahami bahawa naluri kanak-kanak memang gemar untuk mempelajari sesuatu. Sikap ingin tahu itulah yang menjadi sumber motivasi kepada seseorang anak untuk terus belajar. Namun, tiada kaedah yang sama yang boleh digunakan untuk meningkatkan daya ingatan untuk semua anak-anak.
 
Teruslah mencuba tetapi usah memaksa anak anda. Mungkin anda mengambil masa yang lebih lama sebelum menemui jalan atau cara yang sesuai dengan keperluan anak anda.  Juga perlu diingat, daya ingatan tidak cekap jika otak terlalu banyak tekanan. Jadi, sebaik-baiknya gunakanlah kaedah-kaedah di atas semasa anak anda peka dan bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baru.













Post a Comment

2Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !