TIPS | Ajar Anak Tidur Di Katil Sendiri

Farah Waheda Wahid
4
TIPS AJAR ANAK TIDUR DI KATIL SENDIRI


Buat masa sekarang ni, buat masa kini… Iman Firash seharusnya masih lagi tidur berkepit dengan Mommy. Tak ada Mommy, tak boleh tidur. Mesti nak ada Mommy sebelah dia dan peluk dia. Barulah dia boleh tidur dengan lena. Smile. Itu perangai dia… Akan tetapi sampai bilalah pula kan nak tidur dengan Mommy? Satu hari nanti, satu masa nanti, pasti dia perlu belajar untuk tidur dalam bilik sendiri, tidur di atas katil sendiri tanpa Mommy. Takkan sampai dah bujang masih nak tidur dengan Mommy? Crying face huwaaa, mesti rindu moment dia tidur dengan Mommy nanti ni oiii…. Anak-anak kan sekejap jer dah membesar…Kadang-kadang tu terasa macam dalam sekelip mata jer dah besar. Kannn?

Iman Firash ni, sejak dah berusia 3 tahun ni, sangat attached dengan Farah. Sangat-sangat attached. Tak boleh hilang walau sekejap pun. Farah ke dapur dia ke dapur, Farah naik atas nak mandi, dia pun sama nak naik atas dan mandi juga. Farah solat dia pun sama nak solat juga… Pendek kata, di mana ada Mommy, di situ ada Iman Firash. Bila nak tidur, kalau kita tak peluk dia, dia akan ambil tangan kita dan letakkan di atas perut dia, supaya kita peluk dia. Sampai begitu sekali permintaan si manja seorang ini. Ha ha ha… Open-mouthed smile… Bayangkan agaknya adakah smooth transition –nya nanti bila nak disuruh tidur di bilik sendiri dan di atas katil sendiri tanpa Mommy tidur bersama? I don't know smile.

Sesungguhnya bila anak-anak sudah terbiasa tidur dengan ibu bapa, ianya bukanlah satu perkara yang mudah untuk memisahkan anak-anak tidur di bilik sendiri. Cumanya, sepertimana yang dinyatakan oleh mereka-mereka yang telah berpengalaman sebelum ini, jika betul cara dan kaedahnya, In Shaa Allah, urusan yang boleh memeningkan kepala ini akan berjaya ibu bapa laksankan. Jika anda di dalam situasi yang serupa seperti Farah yang terbayang-bayangkan perkara ini ataupun jika anda pada waktu dan ketika ini sedang berada di dalam situasi atau fasa mengasingkan tempat tidur anak, jom lah kita sama-sama cuba tips yang dikongsikan melalui sumber di SINI. Manalah tau sekiranya ianya efektif kan?

Sepakat

Ibu bapa mestilah sepakat di dalam hal ini, setiap orang mesti menyampaikan mesej yang sama dengan kerap setiap hari. Berbual dengan anak tentang perkara ini setiap pagi selepas mandi, ketika makan, ketika pergi bersiar-siar di dalam kereta, sebelum tidurkan anak-anak dan bila-bila masa sahaja yang dirasakan bersesuaian.

Contohnya, ibu bapa boleh katakan kepada anak-anak:
“Firash dah 3 tahun, Firash dah besar, good boy dan berani, jadi Firash kena belajar tidur di bilik sendiri tau?”

“Mulai minggu depan, Firash tidur di bilik Firash tau, bilik Mommy bukan lagi bilik Firash, nanti kita decorate bilik Firash dengan Thomas & Friends ya?” – umpannn…ha ha ha… Open-mouthed smile

Bila dia melakukan sesuatu secara berdikari seperti makan sendiri, katakan kepadanya:
“Wahhh, nampaknya anak Mommy ni dah besar lah… kalau Firash tidur bilik sendiri lagi bagus! Bilik Mommy tak seronok, dah la tak cantik, tak ada mainan pula tu…katil pun sempit kalau tidur dua orang, malam ni Firash tidur di bilik Firash ya?”

Pendek kata, banyakkan ayat-ayat provokasi dan menanamkan keyakinan bahawa dia sudah cukup besar dan bersedia untuk tidur di biliknya sendiri.

Jangan sesekali salah seorang dari ibu atau bapa yang berkata di hadapan anak yang terlibat seperti: “Eh, tak mengapalah dia tidur dengan kita, bukankah dia masih kecil?”. Kata-kata ini akan menjadi modal untuk anak-anak untuk terus tidur bersama ibu bapa dan usaha untuk memisahkan anak dari tempat tidur ibu bapa akan menjadi sedikit sukar.

Hiaskan BIlik Tidur

Jadikan bilik tidur anak satu tempat yang sangat istimewa untuk si kecil. Pilihlah cadar mengikut warna kesukaannya dan hiasan-hiasan yang sepatutnya mengikut kemampuan ibu bapa. Boleh juga diletakkan permainan yang bersesuaian tetapi ELAKKAN daripada meletakkan televisyen kerana ia akan menyebabkan kita sukar untuk mengawal aktiviti menonton televisyen anak-anak. Dibimbangi anak-anak akan menonton televisyen sehingga ke larut malam sedangkan kita sudah lena dibuai mimpi. 

Tidak perlu hiasan yang mahal-mahal, cukup sekadar apa yang anak suka seperti ada teddy bear atau anak patung yang digemari. Di dalam hal ini, banyakkan berbual dengan anak apa yang dia suka dan cuba hias bilik anak bersama-sama. Jika ingin membeli keperluan bilik tidur, ajaklah anak bersama untuk memilihnya, jadi ia akan menjadi ayat penguat kepada ibu bapa untuk memujuk mereka tidur di atas katil atau cadar yang dipilihnya. Mungkin boleh dilekatkan juga bintang dan bulan yang bercahaya di dalam gelap  (glow in the dark) di bilik anak-anak. Jadi anak-anak akan rasa biliknya lebih hebat dari bilik ibu bapa. Pendek kata gunakan kreativiti anda sebagai ibu bapa.

Membiasakan Diri Anak Tidur Di Biliknya

Bila kita dapati anak mengantuk, terus bawa dia masuk ke biliknya. Jangan tidurkan anak di bilik ibu bapa kemudian baru diangkat ke bilik mereka. Ini akan melambatkan proses untuk dia merasa selesa untuk melelapkan mata di bilik mereka sendiri. Tidak kira siang atau malam, biasakan mereka tidur di bilik mereka sendiri. Jika mereka menolak untuk masuk ke bilik mereka, gunakan taktik seperti memancing mereka dengan permainan dan sebagainya. JIka mereka tidak mahu juga, ibu bapa masuk sahaja ke bilik anak dan baringkan diri di atas katil mereka.

Jangan sesekali masuk ke bilik ibu bapa kerana rengekan atau tangisan anak, jika mereka menangis buat tak tahu sahaja. Bila mereka masuk ke bilik mereka, peluklah mereka dan ajak mereka tidur bersama di atas katil mereka yang selesa itu. Apa yang penting ibu bapa perlulah tegas dalam hal ini, jangan mengalah jika anak memujuk atau menangis tidak mahu tidur di bilik mereka. Ingatlah, mereka sedang menguji ketahanan diri anda!

Temankan Anak-Anak Tidur

Aktiviti ini sangat membantu membina keyakinan anak-anak untuk tidur di bilik sendiri. Sebelum tidur, berbuallah dengan mereka tentang hari yang dilaluinya. Bacakan buku cerita, atau ceritakan kepada mereka cerita yang menarik, jangan pula bercerita cerita seram kepada anak-anak. Sebaiknya-baiknya ceritakan kisah nabi atau kisah-kisah teladan. Mungkin juga ibu bapa boleh menceritakan cerita rekaan kepada mereka. Sebagai contoh kisah kucing yang berani tidur di bilik sendiri, kemudian kaitkan dengan diri mereka. Ibu bapa mestilah kreatif! Walaupun cerita kita itu macam tak logik, tetapi anak-anak suka apa jua cerita yang dikisahkan oleh ibu bapa mereka. Temankanlah mereka sehingga mereka terlelap. Setelah mereka terlelap, kucuplah dahi mereka dan katakan kepada mereka sekali lagi bahawa Allah dan Malaikat sentiasa menjaga mereka.

Jika Anak Menangis Di Tengah Malam, Apa Perlu Dilakukan?

Pada hari-hari awal memisahkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa, kebiasaannya anak-anak akan menangis di tengah malam kerana rasa takut. Anak-anak mungkin akan mengetuk bilik tidur kita. Jika ini berlaku, bawa anak semula ke bilik mereka dan tidurkan mereka semula di atas katil mereka. Jangan ajak mereka tidur bersama ibu bapa pula! Jika setelah seminggu dan anak-anak masih lagi menangis malam, apabila ibu atau bapa mendengar anak menangis, biarkan sahaja mereka menangis dalam masa sepuluh minit, jika tidak berhenti dalam masa itu, barulah ibu atau bapa pergi menjenguk mereka (panjangkan masa menunggu ini dari semasa ke semasa).

Ibu bapa tidak perlu terus pergi kepada anak-anak kerana perbuatan begitu akan mengajar anak-anak bahawa jika menangis, ibu atau ayah akan datang kepada mereka. In Shaa Allah, jika ibu bapa konsisten, dalam masa seminggu atau dua, anak-anak tidak lagi menangis apabila tersedar di tengah malam. Mereka akan berputus asa untuk menangis lagi kerana ia tidak akan mendapat perhatian dari ibu bapa. Di dalam soal ini, ibu bapa mesti kuatkan hati, demi kebaikan anak-anak, kadang-kadang ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan mereka.

Fahamkan Mereka Kenapa Dan Kenapa?

Jika anak sudah berumur 4 tahun ke atas, nyatakan sebab-sebab anak-anak tidak boleh lagi tidur sebilik dengan ibu bapa. Antara sebabnya ialah:
  • Bilik ibu bapa adalah bilik peribadi ibu bapa, jadi ibu bapa ada aurat yang perlu dijaga.
  • Ajaran agama menyuruh anak-anak meminta izin daripada ibu bapa jika ingin memasuki bilik tidur ibu bapa pada masa-masa tertentu seperti selepas subuh, sewaktu tengah hari dan selepas Isya’. Jadi jika anak-anak masih tidur sebilik dengan ibu bapa adalah sangat sukar untuk kita mengajar anak-anak untuk meminta izin kerana mereka akan merasakan bahawa bilik ibu bapa adalah bilik dia juga.
  • Anak sudah meningkat usia, jadi tidak manis jika masih tidur sebilik.

Berilah Pujian Dan Penghargaan

Berilah pujian atau penghargaan sekiranya anak berjaya tidur sendiri. Jangan tunggu lama, tetapi sebaik sahaja dia bangkit dari tidur atau ketika ibu atau ayah mengejutkan anak di pagi hari, peluklah dan ucapkan tahniah atas keberaniannya malam tadi. Katakan juga kepada anak bahawa anda sangat bangga dengan keberaniannya itu. Pujilah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah dia telah melakukan sesuatu yang amat membanggakan anda. Puji berulang kali, dan berikan galakan untuk dia tidur di biliknya lagi malam nanti. Ibu bapa juga boleh memberi hadiah jika anak berjaya tidur di bilik mereka dalam beberapa malam contohnya selama seminggu. Ini akan menaikkan semangat mereka untuk terus tidur di bilik sendiri. Berilah pujian dan penghargaan yang dirasakan sesuai dengan anak anda.

Cadangan-cadangan ataupun tips di atas In Shaa Allah akan berkesan jika ibu bapa konsisten melaksanakannya. Winking smile. Namun begitu, ia tidak sama jangka waktu antara anak-anak. Mungkin ada yang hanya mengambil masa seminggu, mungkin juga mengambil masa berbulan-bulan, apa yang penting ialah ibu bapa mestilah meletakkan peraturan di dalam rumahtangga dan anak-anak perlu mematuhinya. Mudah-mudahan Farah berjaya, mudah-mudahan semua ibu bapa di luar sana juga berjaya dan marilah kita sama-sama bermohon pada Allah SWT agar dipermudahkan di dalam urusan ini. SEMOGA BERJAYA! Untuk kita semua sama-sama…Ha ha ha… Open-mouthed smile

Post a Comment

4Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

  1. setuju dengan tips yang diberikan....antara yang paling saya setuju dan berhasil dalam mendidik anak ini adalah dengan menerangkan setiap hari

    ReplyDelete
  2. sangat menarik ni. thanks for the tips!

    ReplyDelete
  3. Tq kak Farah share tips ni.
    Sarah maasih belum bercerai susu, dan dia sejenis yg takkan tdo dgn sendiri tanpa menyusu. Tak tau cemana nk bg dia belajar tdo dgn sendiri tanpa breastfeed.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !