I Am Seriously Thinking About IMPLANON...

Farah Waheda Wahid
4

Hajat hati memang dah lama dah bercita-cita dan berangan-angan tentang IMPLANON ni. Ramai juga di kalangan kawan-kawan yang telahpun melakukan prosedur IMPLANON bagi mencegah kehamilan secara efektif. Aikkk? Kenapa nak cegah? Tak nak lagi ke? Jawapan mudah dan ringkas... Bukan sekarang dan Farah sejujurnya memang tidak bersedia untuk hamil lagi sekali. Bukan sekarang dan tidak bersedia itu sebenarnya adalah subjektif dan bercabang kepada pelbagai faktor dan juga alasan peribadi yang tersendiri, yang mana ia telahpun diulas berulang kali di dalam entri Farah di Bubblynotes.Com sebelum ini. 

Bagi yang terlepas pandang atau tidak berkesempatan membaca sebelum ini... Secara ringkasnya apa yang dapat Farah jelaskan adalah... Farah bukannya menolak rezeki dari Allah SWT akan tetapi diri ini hakikatnya mempunyai masalah komplikasi kehamilan yang pernah dikongsikan di dalam Bubblynotes.Com sebelum ini iaitu masalah uri yang tidak naik serta menghalang laluan kelahiran tahap kedua yang lebih dikenali sebagai Placenta Previa dan juga secara jujurnya dari segi kestabilan kedudukan ekonomi keluarga, Farah merasakan yang Farah masih belum mampu lagi untuk menambah ahli keluarga. Biarpun mungkin ada sesetengah pembaca yang tidak bersetuju dengan sebab musabab yang Farah nyatakan ini, namun itulah yang sebenar-benarnya. Tambahan setelah dua kes keguguran kehamilan pada tahun 2014 dan juga 2015 sebelum ini, bagi mengelakkan kemungkinan hamil lagi di dalam waktu terdekat, cadangan untuk melakukan prosedur IMPLANON itu semakin bagai disuruh-suruh. 

Menjarakkan kehamilan bukanlah lagi satu perkara yang menjadi tabu kepada masyarakat di Malaysia kini. Kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kesibukan kerja menyebabkan bilangan ahli keluarga kini semakin mengecil berbanding 20 tahun dahulu. Lantaran itu, tidak hairanlah kebanyakan pasangan seuami isteri terutama golongan muda memilih untuk merancang keluarga bagi menjarakkan kehamilan ataupun mengehadkan bilangan anak. 

Dengan perkembangan dunia perubatan yang semakin maju, sebenarnya tiada istilah termengandung yang biasa digunakan oleh kaum wanita sebagai alasan setiap kali hamil lagi. Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini. Sama ada, kaedah yang bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya. 

Jika masyarakat dahulu menggunakan kaedah tradisional seperti memakan air rebusan akar kayu atau jamu untuk mengelakkan kehamilan, kemunculan pil kontrasepsi dan kondom turut memberi kelegaan bagi pasangan yang ingin merancang keluarga. Dan kini dengan hadirnya pelbagai lagi jenis kontrasepsi yang selamat, berkesan, mudah digunakan dan murah menjadikan perancangan keluarga bukan lagi satu perkara yang sukar. Salah satu kaedah terkini yang semakin mendapat perhatian namun belum digunakan secara menyeluruh adalah yang Farah fikirkan iaitu IMPLANON. 

Sedikit penerangan mengenai IMPLANON melalui sumber di SINI:

IMPLANON adalah alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas. Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian, kata Dr. Hamizah Mohd. Hassan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). 

Menurutnya lagi, IMPLANON adalah kaedah halangan yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Kebanyakan kegagalan yang berlaku adalah disebabkan kedudukan implanon yang tidak tepat. Wanita yang memakai implanon akan subur semula selepas tiga minggu alat tersebut dibuka malah implanon juga tidak mengganggu hubungan seks seperti sesetengah kontrasepsi. 

Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel. Ia bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap sepanjang hayatnya. IMPLANON sesuai untuk ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi mereka, jelasnya. 

Kata Dr. Hamizah, IMPLANON juga bertindak dengan cara memekatkan mukus serviks yang mana dengan sendirinya menghalang kemasukan sperma ke dalam tiub fallopian. Dengan ini, gangguan berlaku di bahagian endometrium sekretori yang mana ia menjadi nipis dan tidak membenarkan ovulasi berlaku. Mungkin kedengaran agak menakutkan apabila rod IMPLANON perlu dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan trokar, namun menurut Dr. Hamizah, kaedah ini paling sesuai memandangkan ia kekal sepanjang pemakaian dan tidak memerlukan penjagaan yang melecehkan.

Jika dengan cara pil, misalnya wanita tersebut mungkin akan terlupa, katanya. Namun begitu, pemakaian IMPLANON juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kesan pendarahan atau haid yang tidak dijangka. 

Menjawab pertanyaa, Dr. Hamizah berkata, ada ketikanya berlaku kesan pendarahan tidak dijangka ketika penggunaan atau selepas tiga hingga empat bulan penggunaan. Katanya, 50 peratus pemakai mungkin tidak mengalami haid atau mengalami sedikit sekali-sekala, 40 peratus mendapat pusingan haid yang normal manakala 10 peratus mengalami pendarahan banyak dan membebankan. Jika perkara ini berlaku, doktor akan menasihatkan supaya IMPLANON ditanggalkan. 

IMPLANON juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan setempat sebanyak satu peratus. Kesan-kesan yang biasa adalah berlaku lebam di sekitar kawasan kemasukan. Ada juga komplikasi berlaku ketika IMPLANON ingin ditanggalak terutama jika rod melebihi sebatang. Masalah-masalah yang biasa dialami ketika menggunakan kontrasepsi lain seperti pening kepala, jerawat dan pertambahan berat badan mungkin juga boleh berlaku kepada pemakai IMPLANON. Namun sehingga kini belum ada pengesahan sama ada IMPLANON boleh mengubah risiko seseorang wanita terhadap kanser payu dara.

Siapa Yang Boleh Menggunakan IMPLANON?
Wanita yang mahukan kaedah mudah, berkesan, mudah dipasang dan ditanggal, mudah untuk kembali subur, kekal di tempat di mana ia dipasang, tidak perlu melakukan sesuatu terhadap kontrasepsi yang dipakai, tidak memakai sebarang kontrasepsi lain dan alah kepada estrogen sintetik. 

Siapa Yang Tidak Boleh Menggunakan IMPLANON?
Wanita yang mempunyai tumor throboembolic disorder progestogen dependent (sama ada sudah mengetahuinya atau disyaki), mempunyai sejarah lalu atau semasa penyakit hepatik yang teruk seperti fungsi hati tidak kembali kepada normal, tumor hati beningn atau malignant, carcinoma di dada, sedang hamil atau mengalami pendarahan vagina. 

Sumber dari Google
Fakta Mengenai IMPANON:

1 berbentuk rod sepanjang 4cm x 2mm, mengandungi 68 miligram gonane progestin etonogestrel. 

1 IMPLANON boleh dikeluarkan pada bila-bila masa namun penggunaannya perlu dihadkan sehingga tiga tahun sahaja. 

1 mula sekali diperkenalkan di Indonesia pada 1998, kemudian diluluskan penggunaannya di 30 negara lain dan kini telah dipakai oleh lebih 2.5 juta wanita seluruh dunia. 


Sumber dari Google
Cara Pemakaian:
Anestetik disuntik pada bahagian lengan atas dan kemudian alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod IMPLANON di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf atau diletakkan di tempat yang tidak betul yang akhirnya menyebabkan kehamilan yang tidak diingini. Hanya 3.6 peratus pemakai IMPLANON pernah mengalami komplikasi setempat termasuk bengkak, kemerahan, hematoma dan kesakitan. 

Hukum Menggunakan IMPLANON Dari Perspektif Islam: (dipetik dari sumber di SINI)
Hukum mengengai kaedah perancangan keluarga secara IMPLANON dari perspektif Islam, adalah harus kerana ia bersifat sementara. Islam memberi keharusan sekiranya ada sebab-sebab syari'e seperti isteri terlalu lemah kerana sakit atau salah seorang pasangan membawa penyakit keturunan atau kehamilan yang kerap boleh memberi kesan kepada jiwa dan kesihatan seseorang wanita. 
Ini adalah berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang membincangkan penggunaan kaedah perancang keluarga secara keseluruhan. Muzakarah Jawtankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-28 yang bersidang pada 29 Februari 1991, pula membincangkan Sistem Susuk Norplant dalam Program Perancang Keluarga Kebangsaan secara khusus. 
Kaedah perancang keluarga seperti ini bersifat tidak kekal, dan hanya boleh digunakan untuk menjarakkan kehamilan selama lima tahun. Selepas itu harus ditanggalkan bagi mengelakkan kemudaratan. 
Bercadang dan berhajat tu dah memanglah... Sebelum-sebelum ini belum pernah sekali pun Farah memakan sebarang pil perancang kehamilan mahupun melakukan prosedur pencegah atau penjarak kehamilan yang lain. Sepanjang selepas kelahiran Iman Firash ianya adalah lebih kepada pencegahan secara semulajadi dan juga menggunakan Ovulation Predictor Kit. Apa pun, jika nekad untuk meneruskan prosedur IMPLANON ini, perbincangan hati ke hati dan persetujuan bersama harus dicapai terlebih dahulu dan sebelum apa-apa prosedur dilakukan, seharusnya perlu mendapatkan konsultasi mereka yang berkemahiran dan pakar kerana tidak semua bentuk pencegahan kehamilan bersesuaian dengan seseorang individu. In Shaa Allah, jika diizinkan Allah dan Farah berpeluang melalui pengalaman melakukan prosedur IMPLANON akan datang... Akan Farah kongsikan pula bagaimanakah pengalaman sebenar memasukkan IMPLANON itu di bawah lengan. 
*Sebenarnya dok bayangkan... Macam sakit jer...Wakakakaka...Sesiapa yang ada pengalaman tu bolehlah kongsi pengalaman sebenar anda kalau sudi... Nak juga tau kan? 

Post a Comment

4Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !