Jangan Tegur Anak Sehingga Menjatuhkan Air Mukanya

Farah Waheda Wahid
3
Sumber diubahsuai dari Google
Manusia bila dah marah, adakalanya boleh hilang kawalan. Mana-mana manusia pun, tidak terkecuali sesiapa akan mempunyai potensi untuk hilang kawalan diri akibat terlalu marah bila sudah tidak memikirkan apa-apa lagi. Termasuk juga ibu bapa, bila marah adakalanya boleh jadi hilang kawalan tanpa disedari. Bahaya kalau mengekspresikan rasa marah yang tidak terkawal ni… Adakalanya boleh menjatuhkan air muka orang lain termasuklah anak sendiri tanpa kita sedari ataupun sebenarnya kita sedari.

Satu artikel menarik dari sumber di SINI untuk perkongsian dan manfaat kita bersama. 

“Panggg!!!” Bunyi pinggan pecah di meja berhampiran menarik perhatian saya. Bukan sahaja saya, tetapi hampir kesemua pelanggan restoran kecil tersebut. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki sekitar usia 4 tahun berdiri tegak, wajahnya penuh ketakutan. Langsung tidak ada pergerakan. Saya melihat ayahnya dalam keadaan yang amat marah.

“Kan aku dah kata! Kenapa kau ni degil sangat haaa??? Bodoh!!!”. Bagaikan halilintar ayahnya memarahi anaknya di hadapan orang ramai. Saya tergamam. Pelanggan yang lain juga kelihatan begitu. Sejurus kemudian, semua menghadap makanan masing-masing, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Tidak lama kemudian, kelihatan keluarga tersebut beredar keluar dari restoran. Saya hanya sempat melihat kelibat budak tersebut yang masih ketakutan. Entah apa yang bakal dihadapinya selepas ini. Saya tidak mahu bersangka ataupun memikirkannya. Peristiwa tersebut bermain-main di fikiran saya selepas saya keluar dari restoran. Kasihan dengan anak kecil itu. Kasihan juga kepada kedua ibu bapanya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya berfikir-fikir. Walaupun saya mungkin tidak akan sampai ke tahap itu dalam memarahi anak-anak, tetapi kadang-kadang terbabas juga tanpa sempat menekan butang “pause”. Kadang-kadang akibat malu dengan rakan-rakan dan orang sekeliling dan khuatir dikatakan ibu bapa yang tidak pandai mendidik anak, anak-anak menjadi mangsa kemarahan kita di khalayak ramai. Astaghfirullah.

Moga Allah mengampunkan dosa-dosa saya akibat kelalaian.

Anak-anak adalah anak-anak. Walaubagaimana lurus dan berjurus mereka sekalipun, tetap akan ada tindakan mereka yang pasti tidak kena pada mata orang dewasa. Menjerit, menangis dengan kuat tidak kira masa, berlari-lari, terlanggar itu ini, tertumpah air, berebut-rebut, terpecahkan pinggan dan seribu satu macam karenah lagi adalah perkara biasa, kerana mereka adalah kanak-kanak bukan orang dewasa yang mampu berfikir, bertindak matang dan mengawal segala tingkah perbuatan.

Itu bezanya mereka dengan orang dewasa. Namun, amat tidak wajar jika orang dewasa juga bertindak dengan tidak rasional terhadap anak-anak berusia bawah 5 tahun yang masih belum mengerti dengan sempurna banyak perkara, yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, bahkan tidak pun tahu apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan.

Jika ingin menegur anak-anak, elakkanlah dari melakukannya di khalayak ramai, kerana anak-anak juga punya perasaan malu dan maruah diri. Apatah lagi dengan menggunakan bahasa-bahasa kesat yang bukan sahaja menjatuhkan air mukanya malah kalam-kalam kesat itu mungkin bertukar menjadi doa yang dimakbulkan oleh Allah SWT. Anak-anak perlu diluruskan, perlu dididik dengan adab dan akhlak, perlu didisiplinkan, perlu diingatkan agar sentiasa tertib, namun untuk melakukannya, lakukanlah dengan cara yang baik juga dan jangan mengharapkan dengan sekali teguran, anak-anak akan terus berubah.

Ceritakan kepada anak, mengapa tindakannya adalah satu kesalahan, tunjukkan kepadanya cara yang lurus tanpa perlu menyindir atau memarahinya dengan bahasa sumpah seranah atau dengan bahasa yang amat melukakan jiwa. Sebelum menegur anak juga, siasat dulu kesalahannya. Jangan menghukum dengan semberono dan jangan memarahi anak atas kesalahan yang tidak dia lakukan. Kelak dia akan melihat kita sebagai ibu bapa yang zalim dan tidak boleh dipercayai.

Jika ingin meluruskan anak, lakukanlah dengan berperingkat-peringkat, bukan terus memarahi atau memukulnya dengan rotan. Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiatul Aulad, rotan adalah kaedah terakhir selepas segala kaedah teguran telah dilaksanakan, bukan kaedah pertama bila anak melakukan kesalahan. Banyak lagi perkara yang kita sama-sama perlu pelajari dalam mendidik anak. Moga Allah memberikan kita petunjuk. In Shaa Allah. Amin.

Oleh: Hisham Sharif, Penulis Buku, Begini Sayang! Dan 43 Inspirasi Mendidik Anak 

Post a Comment

3Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

  1. Betul.Sebelum nk bertindak WAJIB tgk keadaan sekeliling dulu. Segarang2 saya ni, WAJIB tgk keadaan sekeliling sebelum nk tegur che mek.Nnt bukan anak je malu..Saya pun malu...huhu

    ReplyDelete
  2. nice post...kadang-kadang ada terbabas juga dalam segi marah anak ni.

    ReplyDelete
  3. Ada cara untuk menegur anakII... nice post :)

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !