Sumber diubahsuai dari Google |
Dunia
sudah semakin hampir ke penghujungnya, tak perlu dihuraikan terlalu panjang,
tak perlu diperhalusi satu persatu setiap incinya kerana telah seringkali diperbincangkan,
telah acapkali diperkatakan… Untuk bekalan diri sendiri, untuk bekalan di sana…
Apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa memperbaiki amal ibadah dan diri
sendiri… Bukan nak kata, Farah ni baik sampai nak memuatnaik entri yang berunsurkan
keagamaan begini. Cuma ianya adalah sesuatu yang Farah cuba perbaiki diri Farah
dari semasa ke semasa… Siapa yang tidak mahu menjadi lebih baik dan “excellent”
di dalam amal ibadahnya kan? Siapa yang tidak ingin semakin hari semakin banyak
mendekatkan diri kepada Allah SWT kan? Masa silam adalah masa silam, akan tetapi,
tidak salah jika kita ingin berubah ke arah jalan yang lebih baik serta
diredhai oleh Allah SWT.
Tertarik
dengan satu artikel di SINI,
yang Farah rasakan bukan sahaja amat bermanfaat kepada diri Farah sendiri
tetapi juga kepada ibu-ibu di luar sana… Perkara yang baik apalah salah kita
berkongsi kan?
Bangun
tidur seawal jam 5 pagi, solat tahajud, siapkan sarapan pagi dan bekalan anak
untuk ke sekolah. Periksa keperluan anak-anak. Hantar anak ke sekolah. Balik
rumah siapkan kerja-kerja rumah, masak makan tengah hari. Ambil anak dari
sekolah, solat zohor, hantar anak sekolah agama. Balik rumah, angkat kain baju
dan lipat, siapkan makan malam, solat asar, ambil anak dari sekolah. Uruskan
anak-anak di rumah, solat maghrib, ajar anak mengaji Al-Quran, makan malam,
mengemas rumah, bantu anak-anak buat kerja sekolah, solat Isyak, masuk tidur. Mata
ibu akan terus terpejam saat kepala diletakkan di atas bantal. Anda berjanji
kepada diri sendiri untuk berzikir tetapi mata terlelap sebelum sempat berzikir
mengingati Allah.
Ini
adalah rutin harian biasa seorang ibu yang tidak bekerja dan mempunyai
anak-anak yang sudah bersekolah. Bagi yang bekerja pula rutinnya sama sibuk
menguruskan keluarga dan rumahtangga sebaik sudah berada di rumah. Seolah-olah
ibu tiada langsung masa “seminit” untuk diri sendiri apatah lagi untuk
melakukan lebih banyak amal ibadat. Ia kadang kala membuatkan ibu rasa
bersalah. Sebetulnya, ibu juga sedang melakukan satu ibadat apabila dia
menguruskan segala keperluan anak-anak, suami dan rumahtangga. Berdoalah kepada
Allah SWT agar mengurniakan balasan pahala atas setiap titisan peluh yang
mengalir dan setiap keletihan yang dirasakan.
Niatkan
segala apa yang dilakukan itu adalah kerana Allah SWT dan bukan kerana terpaksa
atas dasar tanggungjawab sebagai ibu. Semoga segala kepenatan dan keletihan
yang dirasakan mendapat balasan syurga dari Allah SWT. Walaupun sibuk seperti
lipas kudung ia bukan alasan untuk supermom
melupakan amalan membasahkan lidah dengan berzikir. Kita selalu fokus kepada
memenuhi keperluan kesihatan badan dan melupakan keperluan jiwa.
Jangan
lupakan makanan rohani kerana ia sama penting untuk menguatkan jiwa dan minda
kita apatah lagi dalam masa yang sama kita bertanggungjawab untuk mendidik
anak-anak. Tujuan melakukan amalan zikir mengingati Allah adalah untuk
membersihkan hati dan jiwa serta menyedarkan suara hati kita sebagai manusia.
Apabila hati dalam keadaan tenang, kita mudah untuk berfungsi dengan baik. Kita
akan merasa produktif dan proaktif. Kita akan sentiasa rasa bersyukur dengan
apa sahaja yang ada pada kita. Bagaimana kita hendak jadikan zikir sebagai satu
amalan rutin setiap masa? Tiada alasan sibuk atau tak cukup masa. Inilah
jawapannya:
Sentiasa Berdoa dan
Mengingati Bantuan Allah SWT
Sentiasa
banyakkan berdoa, terutama selepas setiap solat fardu supaya sentiasa dilimpahi
berkat dariNYA. Peruntukkan sekurang-kurangnya 15 minit daripada 24 jam setiap
hari untuk merenung dan muhasabah diri serta mengingatkan diri atas bantuan
dariNYA ke atas anda.
Cuba
tanamkan rasa kesyukuran dan terhutang budi dalam hati anda. Masa terbaik
melakukan perkara ini adalah selepas solat fardu kerana ketika itu kita berada
di dalam “mood” beribadat. Cara ini membantu anda mempraktikkan zikir hati
(mengingati Allah dengan menggunakan hati.).
Solat dan Membaca Al-Quran
Salah
satu daripada zikir lisan (mengingati Allah secara verbal) adalah bersolat.
Didik diri untuk sentiasa solat tepat pada waktunya dan penuh kekhusyukkan.
Anda boleh merancang tugas-tugas rumahtangga dengan pembahagian mengikut waktu
solat. Contohnya, anda boleh rancang menyiapkan tugas memasak dan membersih 15
minit sebelum solat Zohor jadi anda boleh bersiap fizikal dan mental untuk
bersolat sebelum azan berkumandang. Solat adalah salah satu cara berkesan untuk
menghapuskan rasa tertekan dan kebimbangan yang dialami. Serahkan diri anda
bulat-bulat kepada Sang Pencipta.
Pernahkah
anda berasa tidak tenang jika sehari tertinggal membaca Al-Quran? Bersyukurlah
kerana itu tandanya Allah mengurniakan hidayah kepada diri anda. Sesungguhnya
amalan membaca Al-Quran dengan konsisten setiap hari banyak membantu anda
menjadi insan yang redha, sabar, berserah diri kepadaNYA dalam segala hal.
Peruntukkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran setiap hari. Contohnya, sebelum
solat Subuh (ketika anak kecil anda belum bangun) atau selepas solat fardu.
Jika yang bekerja, mungkin boleh mulakan dengan menggunakan aplikasi Al-Quran
dalam telefon pintar anda. Mulakan dengan sedikit dahulu tetapi jadikan amalan
harian. In Shaa Allah, anda akan terus meningkat bacaan setiap hari.
Berzikir Ketika Buat Rutin
Kerja
Siapa
kata ibu bekerja atau ibu sibuk buat kerja rumah tidak boleh berzikir? Biasakan
lidah anda untuk berzikir ketika sdang membuat kerja sama ada di rumah atau di
pejabat. Contohnya sambil memasak, membasuh pinggan atau menaip di depan PC
ketika di pejabat, anda boleh berzikir. Untuk memudahkan, anda boleh pilih
zikir spesifik ketika sedang sibuk bekerja. Misalnya, anda boleh tulis “SubhanAllahi
wa bihamdihi” di atas “post-it-note” dan tampalkannya di kabinet dapur atau di
depan PC sebagai peringatan untuk membacanya ketika memasak atau menaip.
Kerap Dengar Zikir Dengan
Anak & Manfaatkan Teknologi
Manfaatkan
penggunaan teknologi yang anda miliki dengan memuat naik alunan zikir di
tablet, telefon pintar dan CD. Anda boleh dengar bersama-sama si kecil ketika
sedang bersantai dengannya di masa lapang, sebelum tidur atau semasa memandu
kereta bersama anak-anak. Biasakan mereka dengan alunan zikir agar ia akan
menjadi amalan di bibir mereka kelak.
Mengingati Allah Dalam
Pertemuan Dengan Kawan
Semasa
pertemuan dengan kawan-kawan untuk minum kopi sambil berkongsi pengalaman dan
bertukar tips menguruskan keluarga, anda boleh memperuntukkan sedikit masa
untuk berbincang tentang mengingati Allah. Sekurang-kurangnya pertemuan anda
ada faedahnya serta diberkati oleh Allah SWT berbanding hanya bercakap kosong
dan mengata orang.
Zikir Bersama Keluarga
Pilih
satu hari dalam seminggu untuk anda sekeluarga berzikir, bersama-sama. Mungkin
dalam sesi tersebut, suami boleh berkongsi sebarang cerita/kisah yang ada dalam
Al-Quran, kisah sahabat Nabi atau apa sahaja yang membawa manfaat kepada ahli
keluarga.
Mungkin bagi yang ada anak kecil boleh buat aktiviti menyeronokkan
seperti membuat kraf. Membuat kad ucapan untuk hari lahir kawan-kawannya dengan
menulis zikir "Alhamdulillah SubhanAllah, Allahu AKhbar". Ia membantu
anak anda mengaitkan zikir dengan sesuatu yang menyeronokkan dan pembacaan
lisan membantu mereka mengingati Allah bila-bila masa.
Menjadi ibu yang sibuk bukan bermakna tiada masa untuk kita
mengingati Allah kerana apabila kita sentiasa mengingatiNYA, sebenarnya
kita mendidik diri lebih berdisiplin, bersabar, bertenang dan redha.
Semoga dengan rajin berzikir, kita mampu menjadi Muslimah sejati dan ibu
yang produktif. Insha Allah!
good entry..
ReplyDeleteBiasanya setiap hari selepas maghrib dengan melibat2kan anak2 sekali..
ReplyDelete