Tips Latih Anak Rajin Solat

Farah Waheda Wahid
1

Apa yang dapat dilihat di dalam gambar di atas, macam tulah gaya Iman Ash bila lihat Mommy, Atuk atau Nek Ma bersolat. Bila kami bersolat, dia pun sibuk nak mengikut sama dan memang dia betul-betul mengikut. Dia minat dan dia suka apa sahaja yang berbentuk keagamaan. Itu yang Farah perasan. Alhamdulillah...Bukan nak berbangga diri ataupun berniat nak jadi riak, tetapi ini adalah salah satu perkembangan Ash yang membuatkan Farah terasa, sejuknya perut Mommy mengandungkan Ash. Rajin pakai kopiah, rajin mengikut dalam bahasa dia yang tersendiri berzikir terutama "La Illah Ha Illallah"... Sepenuh perasaan pula tu... Nek Ma Ash siap kata... "Dik, anak ko ni tokohnya warak ni..."...Hu hu hu... Tak boleh nak kata dan tak boleh nak agak, sebab usia dia masih muda lagi...Akan tetapi jika benar...Alhamdulillah, syukur Ya Allah...Siapa tak suka bila ada anak yang soleh, anak yang cinta pada Allah SWT dan anak yang cinta kepada agama Islam itu sendiri kan? Mommy doakan yang terbaik buat Ash... 

Memang Farah ni tak adalah dalam mana pengetahuan agamanya, Farah masih mencari dan masih belajar dan masih cuba untuk mempertingkatkan kualiti amal ibadah Farah. Farah juga bukanlah di dalam kategori yang alim ulama itu. Namun Farah tak pernah rasa rendah diri dengan kekurangan itu kerana Farah percaya tetap ada ruang di mana-mana sahaja untuk kita menimba ilmu. Walaupun pengetahuan agama Farah ni tidaklah sedalam mana sehingga boleh berbicara seolah-olah diri ini arif sangat tentang agama atau berbunyi seperti ustazah... He he he... Farah tidak pernah lupa untuk mendidik Ash tentang agama Islam. Mana mungkin Farah lupa kan? Itu akar umbi kita sebagai Muslim dan penting untuk perkembangan Ash... 

Farah pernah berkongsi tentang Usia Terbaik Melatih Anak Solat... dan kali ini Farah ingin berkongsi dengan pembaca Bubblynotes.Com tentang tips melatih anak rajin solat melalui artikel yang Farah baca di SINI untuk pengetahuan keibubapaan kita bersama... Yang dah pakar, yang dah tau tu, kalau tak nak membaca perkongsian Farah pun tak apa... :-) ... Tiada paksaan... 

Sumber dari SINI
Mendidik kanak-kanak melakukan ibadat solat hukumnya adalah WAJIB. Kewajipan mendidik kanak-kanak melakukan ibadat solat ketika mereka mencapai usia 7 tahun dan dibolehkan memukul dengan pukulan yang tidak mencederakan mereka jika enggan mengerjakan solat apabila mencapai usia 10 tahun. Ini disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud:

Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Semoga panduan berikut boleh dipraktikkan bersama-sama oleh kita yang bergelar ibu bapa di dalam mendidik anak-anak tentang kewajipan mengerjakan solat.

Biasakan Anak Mendengar Laungan Azan
Sejak usia bayi lagi biasakan anak mendengar laungan azan yang berkumandangan di masjid berhampiran atau dari televisyen. Berhenti bercakap atau melakukan aktiviti lain sebaliknya beri tumpuan kepada suara azan. Secara tidak langsung anda menunjukkan contoh kepada si kecil bahawa mereka mesti menghormati laungan azan.

Ajar Anak Doa Selepas Azan
Anak kecil sangat cepat mencerap apa yang diajar setiap hari. Mereka berupaya untuk menghafal doa yang anda bacakan setiap hari. Oleh itu, rajinlah membaca doa selepas azan setiap kali selesai mendengar laungan azan. Anda pasti terkejut apabila satu hari kelak anak anda boleh lancar membaca doa tersebut yang hanya didengari daripada anda setiap hari.

Didik Solat Sejak Bayi
Siapa kata bayi tidak boleh diajak solat bersama? Anda boleh mula mengajak si comel bersolat bersama keluarga. Bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukungnya. Haaa, yang ini pernah Farah kongsikan di dalam entri Farah dulu yang bertajuk Cara Solat Sambil Mendukung Bayi, Atuk Ash rajin dukung Ash masa bayi dulu... Ia boleh dilakukan oleh ibu atau bapa. Rutin ini akan mendedahkan anak tentang waktu bersolat dan dia pasti akan bersedia untuk solat bersama. Jika dia sudah semakin membesar, letakkan anak di sebelah anda ketika bersolat. Percayalah, anak tidak akan mengganggu anda sebaliknya akan mengikut pergerakan anda bersolat.

Ajar Anak Mengambil Wudhu'
Jika si kecil suka mengikut anda mengambil wudhu', biarkan sahaja. Jangan marahkannya sebaliknya anggap ia sebagai satu proses pembelajaran anak. Bahkan lebih berkesan sekiranya anda boleh menampal cara-cara mengambil wudhu' secara bergambar di pintu bilik air supaya ia memudahkan anak mengikutnya.

Dengarkan Anak Bacaan Dalam Solat
Biasakan anak mendengar bacaan dalam solat anda dengan membacanya kuat sedikit ketika bersolat. Anda juga boleh membacanya ketika di luar waktu solat. Jika selalu mendengarnya tidak mustahil anak anda cepat menghafalnya.

Solat Berjemaah
Amalan solat berjemaah dengan keluarga diakui petua berkesan mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Oleh itu, ajak anak solat bersama jika boleh pada setiap waktu solat. Kebiasaan ini akan menjadi benteng tarbiah terkuat dalam diri anak akan keutamaan mengerjakan solat berjemaah terutama bagi anak lelaki.

Ajar Anak Berwirid
Biasakan anak anda mendengar bacaan wirid, tasbih dan tahmid selepas bersolat. Awalnya dia mungkin tidak memberikan sebarang respon tetapi lama kelamaan anak akan seronok berwirid sama. 

Berdoa Untuk Anak
Berdoalah untuk kebaikan anak anda. Sebut namanya dan mohonlah doa supaya dia menjadi anak yang baik, anak yang soleh/solehah, rajin belajar, rajin menolong ibu dan bapa. Tentu sahaja mereka akan berasa gembira kerana ibu atau bapa menyebut namanya dalam doa tersebut. 

Berikan Anak Pujian
Kanak-kanak memang suka dipuji. Oleh itu, jangan lupa memuji kelakuan baik mereka yang rajin bersolat dan dapat mengerjakan solat dengan betul tanpa bermain. Ia dapat menyuntik semangat mereka untuk terus bersolat dengan tertib. 

Tegur Kesilapan Solat Anak
Sekiranya anak melakukan kesilapan ketika bersolat, tegur kesilapan tersebut selepas selesai berdoa. Teguran biarlah secara berhemah iaitu meminta anak jangan mengulangi kesilapan tersebut sambil diiringi sedikit pujian. 

Amalkan Doa Surah Ibrahim Ayat 40
Amalkan doa dari Surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur. Minta daripada Allah agar menjadikan diri kita dan anak-anak kita sebagai hamba yang sentiasa mengerjakan solat. Maksud ayat 40 Surah Ibrahim: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. 

Bila anak berminat, itu tanda yang baik dan permulaan yang baik. Namun jika sekiranya anak belum menunjukkan tanda-tanda mereka berminat, jangan bimbang, jangan gusar dan jangan khuatir...Perlahan-lahan kita cuba didik mereka... :-) ... Didik anak ni tak boleh sekaligus dan di dalam mendidik anak kita tidak boleh terlalu mengharapkan kesempurnaan seratus peratus penerimaan mereka kerana mereka baru sahaja mula belajar...Mana boleh nak bandingkan kita yang dah lama dididik ni kan? Tugas kita, jadi kita kena sabar...Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua ibu bapa di luar sana juga! 

Post a Comment

1Comments

DISCLAIMER: All content provided on this "Bubblynotes.Com - Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger" blog is for informational purposes only. The owner of this blog makes no representations as to the accuracy or completeness of any information on this site or found by following any link on this site. The owner of Bubblynotes.Com -Malaysia Parenting & Lifestyle Blogger will not be liable for any errors or omissions in this information nor for the availability of this information. The owner will not be liable for any losses, injuries, or damages from the display or use of this information. This terms and conditions is subject to change at anytime with or without notice.

  1. sungguh bermakna perkongsian farah.
    aida ni ada anak dara yg nak masuk umur 11 thn & 9 thn awal 2016 nanti.
    and this year mr.asben dah pun kuatkuasakan kewajipan solat utk mereka farah.
    kami laki bini usaha utk berjemaah, kiranya ada peluang.
    berwirid... tazkira skit oleh mr.asben lepas solat.
    coming, nak baca yassin 4 beranak di mlm jumaat.
    tak mudah... but tak susah. parents kena usaha keras.
    and aida masih lagi berusaha utk buat diorang rajin solat. masih lagi kena remind :) diorang masih lagi leka.

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Bubblynotes.Com uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !