Keperluan Si Anak Lelaki
Dalam budaya masyarakat kita hari ini, anak lelaki sering dinasihatkan agar tampil berani, selalu menang dan tidak boleh menangis. Jadi siapa yang harus disalahkan jika si anak lelaki bersikap agak kasar dan lasak? Sebagai ibu bapa, anda boleh menyampaikan nilai-nilai yang ingin ditanamkan dalam diri anak anda secara tidak langsung atau secara perkongsian pengalaman.

Awalnya, anak lelaki memiliki sikap terbuka yang sama seperti anak perempuan. Sebenarnya nilai-nilai positif mudah disampaikan kepada anak-anak yang masih kecil. Contohnya, ketika anak lelaki anda sedang bersedih, anda boleh mendekatinya dengan berkata; "Kenapa abang sedih? Ibu rasa lega kalau abang nak berkongsi masalah dengan ibu. Mungkin ibu boleh tolong?"

Hanya dengan dialog sedemikian, anda boleh mengenali emosinya sekali gus mengajarnya untuk saling berkongsi. Persiapkan anak lelaki anda untuk menghadapi pelbagai tekanan sosial sepanjang hidupnya, terutamanya yang berkaitan dengan tuntutan masyarakat agar senantiasa menjadi individu yang tegar. Jadi, penanaman nilai-nilai positif ini harus terus diperkukuhkan sehinggalah si anak dewasa.

Secara perlahan-lahan buka peluang kepada anak lelaki anda untuk berbicara tanpa dibayangi sikap terburu-buru. Mungkin anda boleh mengambil kesempatan untuk berbual sewaktu anak anda baru pulang dari sekolah atau sewaktu menghantarnya ke sekolah.

Rutin ringkas ini akan memberi kesempatan kepada anak lelaki anda untuk belajar bersikap terbuka.

Keperluan Si Anak Perempuan
Sikap saling berkongsi antara ibu dengan anak perempuannya menunjukkan langkah awal memupuk keakraban.

Kemampuan khusus anak perempuan atau ibunya untuk mengekspresikan perasaan-perasaan akan membantu mereka menjadi dekat antara satu sama lain. Anak perempuan akan mendapat pengalaman secara langsung dari ibunya dalam menghadapi pelbagai persoalan, seperti mengendalikan klik-klik sosial, meraih simpati orang lain dan sebagainya.

Sewaktu tahun-tahun pertama, ketika si manja sedang membangun identiti diri mengikut kesesuaian jantinanya (biasanya antara usia empat hingga enam tahun). Anak perempuan akan mengamati setiap gerak-geri ibunya sehingga dirinya boleh tampil seperti ibunya juga.

Biasanya masalah akan muncul jika proses identifikasi berlaku begitu kuat. Ini akan menyebabkan si ibu beranggapan dirinya benar-benar mengenali puterinya itu secara luar dan dalam. Akibatnya, si ibu tidak boleh lagi menjadi pendengar yang baik.

Ketika anak perempuan meningkat dewasa, pemerhatiannya akan berubah menjadi kritikan. Sebagai ibu anda tidak boleh silap dalam menilai kritikan yang disuarakan oleh si anak. Anak perempuan anda gemar menilai apa sahaja yang dilihat salah pada pandangan matanya. Dengan melepaskan emosinya kepada si ibu, anak perempuan berharap ia boleh difahami.

Didikan Anak Lelaki Dan Perempuan

1. Memang ada perbezaan ukuran bahagian otak antara anak lelaki dan perempuan. Faktor inilah yang mempengaruhi cara kerja otak mereka, misalnya pada kemampuan istimewa dan bahasa. Anak lelaki cenderung diam ketika mempelajari sesuatu, sementara anak perempuan pula lebih mudah faham jika melakukannya sambil bercakap.

2. Mengikut penelitian yang dilakukan oleh penulis buku Boys and Girls Learn Differently!,Michael Gurian, anak lelaki memiliki lebih sedikit saraf yang berhubung dengan emosi jika dibandingkan dengan anak perempuan. Kebanyakan anak perempuan lebih sensitif berbanding lelaki.

3. Secara psikologi anak di usia yang masih muda telah pun memiliki kesedaran dalam memilih permainan kegemarannya. Apabila dihubungkan dengan struktur otak dan saraf, anak perempuan yang lebih peka secara emosi berbanding anak lelaki akan memilih permainan yang memungkinkan dirinya berinteraksi, seperti anak patung. Sebaliknya, lelaki lebih tertarik dengan mainan yang berunsur kekuatan dan persaingan, seperti bermain bola atau ‘perang-perang’.

Tapi, jika si anak memilih permainan di luar tradisi, ibu bapa tidak perlu bimbang. Bukan salah pada permainan yang tidak sesuai dengan "gender" si anak, tapi ibu bapa perlu mengajar si anak agar memahami tentang identiti seksualnya. Jangan sampai berlaku kecelaruan identiti sudah...He he he... 
Tapi Farah pasti, mesti ada perbezaan-perbezaan yang lain kan? Bagi ibu-ibu pula, secara majoriti Farah sering mendengar... mereka kata lebih senang menjaga anak perempuan dari anak lelaki... Hik hik hik...Tapi tak ada komen untuk itu... Sebabnya? Sebab anak "I is" lelakiiii... ha ha ha... Tapi tak tentu juga kan??? Ada juga anak perempuan yang susah dijaga... Sebenarnya tak kira lelaki ataupun perempuanlah, pada pendapat Farah... ianya bergantung pada anak tu juga pun ya juga kan?